Sabtu, 01 Agustus 2009

Bulan Baik…Ada Ke Bulan Jahat?



Setiap kali hendak tiba bulan Ramadhan, maka semua umat Islam seantero dunia akan menyiapkan diri menyambut ketibaanya dari segi mental dan fizikal. Yang biasa kita dengar ialah mereka menyebut hendak menyambut ‘bulan mulia’ atau ‘bulan baik’. Ketika saya belajar di Universiti al-alBayt, Jordan dahulu, orang Arab apabila menyambut ketibaan Ramadhan maka mereka akan menghulurkan ucapan ‘Ramadhan Karim’ yang bermaksud bulan yang mulia atau ‘Ramadhan Mubarak’ yang bermaksud bulan yang diberkati.

Saya yakin semua orang pasti bersetuju sangat jika kita katakan memang Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan baik. Memang Ramadhan adalah bulan yang sangat diberkati. Ya…bulan yang terletak dalam susunan yang kesembilan daripada 12 bulan-bulan Islam ini memang bulan yang cukup istimewa dan penuh kemuliaan.

Dalam setahun ada 365 hari, ada 12 bulan, ada 52 minggu serta ada beribu-ribu jam, minit dan saat. Namun, yang menjadi persoalannya adakah kemuliaan ini hanya terletak pada Ramadhan sahaja? Bagaimana bulan-bulan yang lain. Tidak mulia ke? Bukankah kita selalu juga begitu gembira apabila menyambut awal Muharram yang menandakan tahun baru Hijrah. Bukankah kita begitu berbangga apabila tiba bulan Zulhijjah di mana pada 10 haribulan, ribuan umat Islam seluruh dunia sedang berhimpun di tanah suci untuk mengerjakan ibadat Haji. Adapun yang berada di tanah air pula, ramai yang berlumba-lumba menunaikan ibadat korban.

Ini bermakna setiap bulan ada cerita dan kemuliaan masing-masing. Kita tidak menafikan memanglah bulan Ramadhan telah memberi peluang dan ruang kepada kita untuk memuliakan diri kita dengan amalan ibadat yang dijanjikan pahala berlipat-lipat kali ganda. Tetapi tidak bermakna pada bulan-bulan lain kita tidak memburu kemulian yang dihidangkan Tuhan untuk kita menambah pahala lagi dan lagi.

Perkara yang saya sering tertanya-tanya juga, jika ada bulan baik maknanya ada ke bulan jahat? Jika ada bulan mulia, maka ada ke bulan tidak mulia? Semua saat, minit, jam, minggu, bulan dan tahun adalah mulia jika kita melakukan kerja mulia dengan niat yang mulia untuk mencari redha daripada Yang Maha Mulia.

Kita memang amat yakin dengan kemuliaan Ramadhan tetapi janganlah lupa bahawa di bulan-bulan lain juga ada dosa pahala dan ada catatan amalan baik dan amalan buruk. Ayuh kita memperkasakan iman kita setiap waktu, apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia.

Sumber: Sahrulazmi Sidek, I Love Ramadhan, hlm. 18

0 komentar:

Posting Komentar

◄ New Post Old Post ►