Sabtu, 06 Juni 2009

Genghis Khan (1162m-1227m/...-624H)

Apabila kita mengkaji sejarah Mongol sudah pasti kita tidak dapat lari daripada nama Genghis Khan. Seolah-olah nama Mongol amat sinonim dengan Genghis Khan. Tidak dinafikan bahawa ada nama-nama besar lain yang banyak disebut dalam sejarah Mongol seperti Hulagu, Kublai Khan dan Tamerlane.

Kehebatan Genghis Khan amat terserlah sebagai tokoh bangsa dan sejarah Mongol sehingga Michael H. Hart dalam bukunya The Hundred meletakkan nama Genghis Khan dalam susunan ke-18 daripada 100 tokoh yang dipilihnya.

Nama asal Genghis Khan ialah Temujin. Bapanya dibunuh ketika beliau berumur 9 tahun. Sejak usia muda beliau telah ditawan dan kolar kayu dipasang dilehernya bagi mengelakkannya melarikan diri. Dari situasi inilah Temujin bangkit menjadi penguasa yang terbilang. Selepas berjaya melarikan diri beliau telah terlibat dengan siri peperangan antara suku kaum Mongolia. Sebelum Temujin suku-suku kaum ini saling berperang sesama sendiri.

Dengan usaha Temujin ini suku kaum Mongolia ini berjaya disatukan. Akhirnya pada tahun 1206m persidangan ketua-ketua suku kaum Mongol dan para khan (chiefs) telah melantiknya sebagai Khan Agung dan digelar Genghis Khan iaitu Emperor of All Men.

Selepas perlantikan ini Genghis Khan mula bergerak ke arah negara jiran dengan jentera ketenteraannya. Suku kaum Mongolia memang telah terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir dan tentera yang garang. Beliau telah berjaya memerangi negeri di barat laut China, empayar Chin di utara China dan empayar Khawarizm Shah.

Genghis Khan telah menyusun bala tenteranya dengan disiplin dan kepantasan. Dikatakan bala tenteranya mampu berjalan sejauh 440 km dalam masa 3 hari sahaja.

Setelah melakukan serangan ke atas Rusia, Afghanistan dan utara India beliau telah kembali ke Mongolia pada tahun 1225m dan meninggal dunia di sana pada tahun 1227m.

Selepas merasa letih dan merasai hampir saat kematiannya beliau telah membahagikan tanah jajahannya kepada empat orang anaknya daripada isteri pertama iaitu Gochi, Chagotay, Ogaday dan Toluy. Menjadi adat bangsa Mongol harta pesaka hanya terbatas kepada anak-anak isteri pertama sahaja.

0 komentar:

Posting Komentar

◄ New Post Old Post ►