Kamis, 27 Maret 2008

Laut Merah

Sudah dua hari saya membaca buku berkaitan armada laut Islam. Saya dapati antara pakar yang menulis tajuk ini ialah al-Sayyid Abdul Aziz Salim. Banyak juga beliau menulis berkaitan ketenteraan laut Islam ini.
Anda tentu pernah terbaca sejarah berkaitan Laut Merah? Waktu saya khusyuk membaca tiba-tiba saya teringat, ada seorang abang yang sama-sama sekolah menengah dulu. Waktu saya tingkatan satu, beliau berada di tingkatan enam atas. Dipendekkan cerita beliau telah menyambung pelajaran ke bumi Mesir tempat kelahiran Imam al-Suyuti, Ibn Taghri Bardi dan al-Qalqashandi. Selepas beberapa tahun, saya dan pihak sekolah mendapat berita tentang kemalangan beliau ketika pulang dari mengerjakan ibadat haji. Kapal yang dinaikinya karam di Laut Merah dan mayatnya tidak ditemui sehingga hari ini. al-Fatihah buat beliau...
Besar sungguh ke Laut Merah sehingga Allah memilih laut ini sebagai tempat tenggelamnya Firaun dan tentera-tenteranya semasa mengejar Nabi Musa a.s. ? Saya pun tidak pernah terfikir sehinggalah hari ini baru saya terbaca tentang Laut Merah ini.
Panjang laut ini antara Suez di utara dan hujung selatannya ialah 2230 Kilometer. Adapun lebarnya di bahagian yang paling luas ialah 350 kilometer. Boleh bayang tak jarak ini. Ya...antara Klang-Pasir Gudang. Kalau saya yang driving mungkin memakan masa 6 jam perjalanan. Bahkan dikatakan pada zaman dahulu orang tidak berani belayar di waktu malam di laut ini kerana terdapat banyak terumbu karangnya.
Sekadar info buat semua.

Senin, 24 Maret 2008

91 Tahun Kerajaan Umayyah

Saya masih lagi dalam proses mentelaah maklumat-maklumat tentang Kerajaan Banu Umayyah yang merupakan tajuk tesis sarjana saya. Banyak sebenarnya maklumat menarik yang ingin sama-sama saya bongkarkan bersama rakan pembaca sekalian agar kita lebih kenal tentang sejarah umat Islam ini.
Kerajaan Umayyah ialah kerajaan Islam yang ketiga selepas era Zaman Rasulullah SAW dan zaman Kerajaan Khulafa' al-Rasyidun. Kerajaan ini bermula apabila cucu Rasul SAW iaitu Hasan b. Ali melepaskan jawatannya sebagai khalifah lalu umat Islam bersepakat untuk melantik Muawiyah b. Abu Sufiyan pada tahun 41H. Lalu tahun ini disebut sebagai Am al-Jama'ah. Muawiyah telah dibaiah di Kufah dan kemudiannya beliau telah kembali ke Syam dan menjadikan Damsyik sebagai pusat pemerintahan Islam yang baru. Menjadikan Damsyik sebagai pusat pemerintahan Islam bermakna puasat pemerintahan Islam kini semakin hampir dengan kawasan musuh iaitu Rom Byzantine yang berpusat di Contantinople.
Kerajaan ini bertahan selama 91 tahun sehinggalah kejatuhannya pada tahun 132H/750M dan bermulalah Kerajaan Abbasiyah. Sepanjang pemerintahan mereka ini telah berlaku beberapa konflik dalaman yang besar seperti pembunuhan Husin b. Ali di Karbala', pembunuhan penduduk Madinah dalam peristiwa Waq'ah al-Hurrah, Pengepungan dan pembakaran Kaabah, Pembunuhan dua beradik iaitu Mus'ab dan Abdullah b. Zubair, pemberontakan Ibn al-Asy'as terhadap Hajjaj b. Yusuf al-Thaqafi dan pembunuhan Said b. Jubair.
Walaupun menghadapi krisis dalaman yang banyak, namun khalifah-khalifah Kerajaan Umayyah telah memberi sumbangan yang cukup besar antaranya usaha menyebarkan Islam sehingga melewati Andalus (Sepanyol) dan Perancis di barat dan sampai ke Daybul (Karatchi), India dan menghampiri tembok besar Cina di bahagian timur. Bahkan sepanjang zaman mereka, umat Islam telah 3 kali cuba menawan Contantinople iaitu dua kali percubaan pada zaman Muawiyah dan percubaan kali ketiga pada zaman Khalifah Sulayman.
Pada zaman mereka ini juga telah muncul nama-nama pejuang Islam yang cukup terkenal malangnya ramai kita yang kurang mengenalinya. Kenalkah anda pada Maslamah b. Abdul Malik, Uqbah b. Nafi', Abu al-Muhajir b. Dinar, Hassan b. al-Nu'man, Qutaybah b. Muslim al-Bahili, Muhammad b. al-Qasim al-Thaqafi dan ramai lagi...?
Tahukah anda jika Khalifah Harun al-Rasyid daripada Kerajaan Abbasiyah telah melahirkan 3 putera yang menjadi khalifah selepasnya, sebenarnya Khalifah Abdul Malik b. Marwan daripada Kerajaan Umayyah telah berjaya melahirkan 4 puteranya sebagai khalifah daripada 14 khalifah Banu Umayyah. Sekadar Renungan.

Sabtu, 15 Maret 2008

Miskin Tapi Power!

Hari Khamis ini, 20 Mac adalah Hari Sambutan Maulid al-Rasul. Tentunya banyak perkara yang kita hendak tahu tentang Junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Nabi dilahirkan dalam keadaan yatim dan miskin. Inilah pilihan allah. Kebetulan pendukung baginda dari kalangan keluarganya ialah kelompok Bani Hashim. Adapun kelompok keluarga yang kuat menentang pula dari kalangan Banu Umayyah. Banu Umayyah adalah golongan yang kaya dan terkenal dengan ketokohan mereka dalam politik sejak jahiliyah. Tidak hairanlah jika mereka merupakan pemimpin Quraisy dalam Perang al-Fujjar, Perang Badar dan Uhud. Banu Umayyah adalah antara yang terlewat menganut Islam tetapi kemudiannya bakat ketokohan mereka berpolitik segera berputik selepas mereka menganut Islam khasnya dengan kemunculan Kerajaan Banu Umayyah.
Rasulullah SAW sejak kecil terpaksa mengambil upah mengembala kambing dan berniaga. Dengan akal cetek kita, sepatutnya seorang rasul mestilah seorang yang hebat dari kalangan bangsawan terbilang. Tetapi itu tidak dalam perancangan Allah. Rasul-Nya diuji sejak kecil dengan cara hidup susah. Akhirnya apabila baginda diuji dengan ujian kesusahan ketika berdakwah, baginda tidak langsung canggung dengan ujian tersebut. Orang yang biasa susah lebih tahan cabaran, bermotivasi dan kuat. Tidak hairanlah biasa kita melihat seorang tokoh ulung adalah berasal daripada keluarga susah.
Kita tidak hairan jika orang susah diuji dengan kesusahan kerana telah biasa susah tetapi kita risau orang yang biasa senang akan diuji susah kerana tidak biasa dengan kesusahan. Bagaimanakah kita mengajar anak dan generasi kita erti kesusahan agar mereka selalu kuat, gagah dan menjadi pahlawan? Mengajar erti kesusahan bukan beerti memaksa mereka hidup susah.

Selasa, 04 Maret 2008

70 tahun untuk membuka Afrika!

Sudah lebih 2 minggu saya menghabiskan masa membelek buku-buku turath untuk membaca sejarah pembukaan Islam di Afrika. Bagi saya, ia tidak semudah membaca sejarah pembukaan Islam di Syam, Iraq mahupun Mesir. Jika saya yang membacanya pun terasa kepayahannya, bagaimana agak-agaknya sahabat-sahabat dan pejuang Islam yang membukanya.
Sebaik sahaja Amru b. Al-As membuka Mesir tahun 20H, beliau terus membuka bahagian barat Mesir iaitu Barqah dan Toroblus. Kemudian usaha beliau disambung oleh penggantinya seperti Abdullah b. Sa'd, Muawiyah b. Hudayj, Uqbah b. Nafi', Abu al-Muhajir b. Dinar, Zuhayr b. Qays, Hassan b. al-Nu'man sehinggalah pembukaan Afrika disempurnakan oleh Musa b. Nusayr yang menjadi gabenornya pada tahun 85-97H.
Tentera Islam bukan sahaja menerima tentangan daripada Rom Byzantine bahkan bangsa Barbar Afrika yang begitu sukar. Tidak hairanlah ramai pejuang Islam yang terkorban semasa usaha pembukaan Afrika seperti Abu al-Muhajir b. Dinar dan Uqbah b. Nafi' yang dibunuh oleh Barbar pimpinan Kasilah. Uqbah adalah gabenor Afrika yang telah mendirikan bandar al-Qayrawan sebagai bandar pertama Islam di bumi Afrika pada tahun 50H. Adapun Zuhayr b. Qays yang menuju Afrika tahun 69H selepas pembunuhan Uqbah, yang telah berjaya mengalahkan Kasilah kemudian telah dibunuh atas perancangan Rom.
Namun kini seluruh Afrika Utara termasuk Libya, Tunis, Maghribi dan al-Jazair merupakan negara-negara Islam tetapi pernahkah kita terfikir susah payahnya umat dahulu menyebarkan Islam. Apakah pula sumbangan kita untuk agama yang suci ini? Mudah-mudahan kita telah menyediakan jawapannya di dunia untuk kita bentangkannya di mahlamah Allah di hari akhirat. Kenalkah kita akan Uqbah b. Nafi' atau Musa b.Nusayr. Sudahkah kita mempromosikan nama-nama agung ini ke telinga anak-anak kita atau sahabat-sahabat kita. Kalau kita pun tidak mengenali mereka maka janganlah mengharap orang lain mengenali diri mereka. Mulakanlah dengan diri kita...

Jumat, 22 Februari 2008

Siapa Raja Terakhir Parsi?

Yadzdajird b. Shahriyar adalah raja Parsi Banu Sasan yang terakhir yang telah memerintah selama 20 tahun. Beliau dibunuh di Marv di Khurasan pada tahun 31H. Dengan kematiannya maka berakhirlah kerajaan Parsi Banu Sasan yang telah memerintah Parsi antara tahun 226-651M. Lihat al-Mascudi (w.346H

Perlukah Eropah berterima kasih dengan Charles Martel?

Perang Balat al-Shuhada’ berlaku pada tahun 114H. Perang yang berlaku antara tentera Islam di bawah pimpinan gabenor Andalus, cAbd al-Rahman al-Ghafiqi melawan tentera Franc pimpinan Charles Martel. Tentera Islam telah bergerak menyeberangi Pergunungan Pyrennes untuk sampai ke selatan Perancis bagi meneruskan pembukaan Andalus. Di dalam perang ini telah terkorban ramai tentera Islam termasuk gabenor mereka cAbd al-Rahman al-Ghafiqi kerana tentera musuh yang lebih ramai, lebih memahami kawasan tersebut dan lebih bersedia menghadapi cuaca yang sangat sejuk. Kemenangan tentera musuh ke atas tentera Islam dalam perang ini telah menyekat usaha pembukaan Islam di Eropah Barat. Lihat al-cUmri, cAbd al-cAziz b. Ibrahim, 1418H/1997M, Al-futuh al-Islamiyyah cabra al-cusur, hlm. 185.

Kamis, 21 Februari 2008

Mempromosi Nama Sahabat dan Sahabiyat

MEMPROMOSIKAN NAMA-NAMA SAHABIYAT: KALAU BUKAN ORANG ISLAM, MAKA SIAPA LAGI?

Pada hari Ahad 17 Februari 2008, saya telah dikurniakan anak yang kelima selepas Ahmad Iyyash, Ummu Hani’, Ahmad Aqqal dan Ahmad Qassam. Dengan lahirnya anak kelima ini maka saya telah dikurniakan oleh Allah 3 orang putera dan 2 orang puteri yang kesemuanya saya namakan dengan nama tokoh-tokoh Islam. Mencari nama untuk anak lelaki adalah lebih mudah daripada mencari nama anak perempuan yang berkaitan dengan tokoh Islam dan sedap didengar oleh telinga.

Namu demikian, semua itu ada penyelesaiannya. Ramai sarjana Islam sejak awal lagi telah menulis nama-nama tokoh wanita Islam. Dalam Tabaqat Ibn Saad ada 629 orang tokoh wanita, al-‘Istiab Ibn Abd al-Barr 399 orang, Tarikh Baghdad oleh Khatib al-Baghdadi ada 31 orang , Tarikh Dimashq Ibn Asakir 200 orang, Siyar al-Zahabi 93 orang, al-Isabah Ibn Hajar al-Asqalani 1551 orang dan ramai lagi. (Rujuk Wan Kamal Mujani; Ketokohan dan Keintelektualan Wanita: Satu Analisis Sejarah Berdasarkan Sumber-sumber Biografi Islam)

Wahai teman-temanku sekalian!

Marilah kita sama-sama menaikkan nama-nama tokoh-tokoh agung Islam ini dengan sekurang-kurangnya menamakan anak-anak kita atau apabila kita dirujuk oleh mana-mana pihak yang inginkan pandangan kita. Jika bukan kita orang Islam yang mempromosikan nama-nama pejuang Islam dan sahabiyat, maka sipa lagi?

TERDAPAT PERBEZAAN ANTARA NAMA TOKOH ISLAM DAN NAMA KEARABAN.

Ramai sahabat-sahabat kita pada hari yang kita lihat cenderung menggunakan nama-nama yang ada bunyi ‘kearaban’ untuk cahaya mata mereka. Namun anda jangan terpedaya dengan bunyi arab sahaja. Kebanyakan nama sahabiyat adalah nama Arab (Ada juga sahabiyat yang berbangsa Rom atau Qibti…etc) tetapi kebanyakan nama Arab itu bukan dari nama sahabiyat. Jangan terkeliru. Apabila anda ingin memilih satu nama dari kalangan tokoh atau sahabiyat maka semaklah dahulu dalam buku tarajum atau tabaqat.

SIAPAKAH UMMU UNAYS?

Al-kisahnya, selepas merujuk pelbagai nama, saya dan isteri cenderung menamakan puteri baru kami dengan Ummu Unays. Tanggal Khamis, 21 Februari 2008 maka dengan rasminya anak kelima kami ini bergelar Ummu Unays. Maka ramailah saudara mara dan sahabat handai bertanya. Siapakan itu Ummu Unays?

Ramai sahabat awal yang telah mendapat penyeksaan di era Mekah zaman Rasulullah saw. Yang biasa kita dengar tentulah Bilal b. Rabah, Keluarga Yasir dan Sumayyah. Namun demikian adakah mereka ini sahaja? Ada yang lain? Ya. Ada. Antara sahabat lain yang pernah diseksa ialah Amir b. Fuhayrah dan Abu Fukayhah. Adapun dari kalangan wanita selain Sumayyah ialah Zinnirah al-Rumiyah, al-Nahdiyyah dan anaknya, Hamamah ibu kepada Bilal b. Rabah serta Ummu Unays.

Ummu Unays adalah hamba kepada Bani Zuhrah. Al-Aswad b. Abd Yaghuth telah menyiksa beliau tetapi tidak mampu menggugat imannya. Beliau telah menunjukkan kesabaran dan kecekalannya dalam sejarah keimanan, kepahlawanan dan pengorbanan semata-mata untuk Allah. (Rujuk Muhammad b. Muhammad Abu Shuhbah, al-Sirah al-nabawiyyah fi dhaw’ al-Qur’an wa al-Sunnah)

PEMBELA SAHABAT-SAHABAT YANG DISEKSA.

Allah telah melahirkan seorang lelaki yang hatinya begitu lembut kepada insan-insan yang lemah dan para hamba. Beliau telah membelanjakan harta yang banyak untuk membeli dan membebaskan hamba-hamba yang diseksa oleh tuan-tuan mereka. Tokoh agung ini tentulah tidak lain dan tidak bukan Abu Bakar b. Abu Quhafah al-Siddiq.

Antara hamba-hamba yang berjaya dibebaskan oleh beliau ialah Bilal b. Rabah, Abu Fukayhah, Amir b. Fuhayrah, Zinnirah al-Rumiyah, al-Nahdiyyah dan anaknya, Hamamah ibu kepada Bilal b. Rabah serta Ummu Unays.

Ya Abu Bakr! Engkau telah membebaskan para hamba sebelun turunnya syariat menggalakkan pembebasan hamba-hamba.

◄ New Post Old Post ►
 

Copyright 2012 Liputan Sejarah Indonesia Template by Bamz | Publish on Bamz Templates