Tampilkan postingan dengan label VIVA Master. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label VIVA Master. Tampilkan semua postingan

Kamis, 29 Oktober 2009

29 Oktober 2009 Dalam Sejarah

Lebih seminggu sebelum 29hb saya dimaklumkan oleh UKM untuk menghadiri Peperiksaaan Lisan Sarjana (Viva) saya.

Saya cuba buat tenang sahaja. Anggap ia sebagai sebahagian perkara yang akan saya lalui. Jangan terlalu ambil mudah dan tidak pula terlalu exited sangat. Akhirnya saya pun tenang mengulangkaji baris demi baris, halaman demi halaman disertasi saya setebal 253 halaman (tidak termasuk halaman-halaman awalan).

Petang hari Selasa, 28 hb sehari sebelum viva, saya sempat minum petang bersama Ustaz Herman dan Cikgu Azri Yusuf. Minum air kelapa matak, air tebu segar dan makan buah jambu serta 2 biji pisang emas.

Malamnya adalah seperti malam-malam biasa. Saya sememangnya membiasakan diri agar tidak menggelabah bila ada sesautu perkara.

Cuma sebelum solat Isyak berjemaah saya minta pada isteri dan 5 orang anak saya,

"Malam ini lps kita solat Isyak sama-sama, kemudian kita solat hajat ya... esok baba ada periksa kat UKM, semua doakan baba ya..." Kami bersolat sama-sama malam itu.

Esoknya jam 7.00 pagi saya bertolak ke UKM. Jam 8.00 pagi saya samapai di perkarangan masjid UKM dan terus memparkir toyota unser saya di depan masjid.

Saya segera tunaikan hajat, kemudian mengambil wuduk dan sempat menunaikan solat tahiyyatul masjid dan hajat dalam masjid. Untuk tambahkan tenang saya.

Saya segera ke bangunan FPI dan singgah ke kantin untuk beli sebotol air mineral. Di perjalanan saya sempat berjumpa kawan lama akhi Yusni Yusak. Dulu 3 tahun duduk sebilik di Jordan.

Sebelum ke bilik Viva, saya sempat bertemu penyelia saya, Yang saya hormati Prof. Madya Dr. Wan Kamal bin Mujani. Syukran Doktor atas bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar. Saya berdoa agar Allah membalas segala kebaikan doktor. Amin.

Akhirnya pada jam 9 lebih saya pun masuk ke bilik Viva 1, aras 2 bangunan FPI, UKM.

Antara yang hang hadir;

1. Prof. Madya Dr. Hajah Salmah Ahmad selaku pengerusi viva merangkap Penyelaras program pengajian Siswazah.

2. DR. Mahiran bt. Ahmad, pemangku ketua Jabtan Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

3. Prof. Madya Dr. Wan Kamal Mujani selaku penyelia

4. Ustaz Ezad AZrai b. Jamsari selaku pemeriksa dalaman

5. Puan Rohimah binti Borhan selaku urusetia PPS.

Setelah kira-kira satu jam berlangsung viva, maka akhirnya disertasi saya pun diisytiharkan LULUS.

al-Hamdulillah. Terima kasih buat semua yang membantu secara langsung dan tidak langsung.

Buat Allah, hambamu ini akan sujud syuklur padaMU.

Demikianlah antara perjalanan sarjana saya di UKM...

Minggu, 25 Oktober 2009

1999...2009




Semuanya adalah dengan izin Allah. Setelah mengerah sedikit usaha, maka pada tahun 1994 Allah telah mengurniakan rezeki kepada saya untuk menyambung pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Akhirnya pada tanggal 31 Ogos tahun tersebut, berangkatlah saya ke bumi Jordan. Kami seramai 100 orang pelajar tajaan KPM dan 100 pelajar tajaan Yayasan Pahang serta beberapa orang pelajar tajaan JPA telah ditempatkan di University al-Albayt, Mafraq.

Kami teruja dengan universiti ini. Kami perlu menghabiskan 51 subjek sekira-kira 151 jam kredit dalam tempoh 4 tahun. Bahkan graduan universiti ini perlu menyiapkan satu tesis/kertas kerja dan perlu dibentang (Viva) di hadapan umum.

Bayangkan kami perlu berbahas dengan para doktor Arab di khalayak ramai. Pada peringkat ijazah sarjana muda. Jangan hairan jika ada universiti yang cuma mengadakan viva dalam bilik tertutup tetapi kami perlu berada dalam dewan terbuka. Bayangkanlah...

Setelah 4 tahun kami berhempas pulas akhirnya kami pun berada di penghujung jalan. Tentunya ramai di antara kami yang berjaya menyelesaikan 151 jam kredit, namun perbezaan kami adalah pada siapa yang paling cepat boleh menyiapkan tesis.

Maka pada pertandingan terbuka ini, al-Hamdulillah saya adalah orang ke-3 berjaya menyiapkannya dalam ratusan pelajar yang menghuni di al-Albayt Universiti dengan tajuk "Gambaran Masyarakat Arab; Kajian Buku Rihlat Ibn Jubayr". Ini adalah cerita tahun 1999 yang lalu.

Kini tahun 2009. Sudah genap 10 tahun kenangan ini berlalu. Begitu pantas. Kisah yang berlaku pada bulan haji tahun 1999 itu, kini berulang kembali.

Pada 28 Oktober 2009 (Rabu) ini sekali lagi saya akan masuk ke bilik Viva. Namun kali ini untuk menyiapkan sarjana saya. Tajuk saya pilih kali ini ialah "Sejarah Perluasan Kuasa Islam di Pulau-pulau Laut Mediterranean".

Tesis setebal 253 perlu saya pertahankan. Setelah perjalanan yang panjang ini, tentunya saya banyak mendapat manfaat tentang tajuk ini. Apatah lagi saya dibimbing oleh penyelia saya yang cukup saya segani iaitu Prof. Madya Dr. Wan Kamal bin Mujani. Beliau banyak memberi bimbingan, nasihat, teguran berguna dan seribu bentuk bantuan yang tidak dapat saya balas. Semoga Tuhan membalas segala jasa-jasanya.

Walaupun viva kali kedua ini berlaku pada tahun yang berbeza, selepas 10 tahun dari viva pertama saya dahulu namun ia berlaku juga pada bulan-bulan haji. Semoga ia memberi kemudahan dan barakahnya pada saya.

Buat teman-teman saya mengenali saya... saya minta doa kalian agar perjalanan viva saya kali ini dipermudahkan Tuhan. Amin.

Salam kejayaan buat kita semua di mana sahaja berada...

Selasa, 02 Juni 2009

Salam Viva

Hari ini 2hb Jun 2009, saya bangkit awal pagi. Selepas tunai solat subuh, menunaikan sedikit keperluan maka saya kemudian pergi ke kedai roti canai bersama 2 anak saya Ummu Unays dan Ahmad Iyyash. Beli 2 roti telor dan 5 roti kosong.

Selesai sarapan, saya bergegas ke UKM. Dua orang hero saya menjadi teman kembara saya hari ini iaitu Ahmad Iyyash dan si adik, Ahmad Aqqal.

Selepas 1 jam perjalanan, saya pun sampai di Kajang. Saya terus ke kedai Fotostat. Ya, hari ini saya ingin menghantar 4 salinan manuskrip disertasi sarjana saya di FPI, UKM.

Ketika hendak menunggu proses fotostat maka saya singgahlah barang sekejap ke pejabat Karnadya. Nak bincang-bincang kosong pasal projek buku yang seterusnya.

Selepas satu jam saya kembali ke kedai fotostat tadi. Setelah menyelesaikan apa yang patut, saya segera ke FPI, UKM.

Maka bermulalah urusan penyerahan disertasi saya. Terima kasih banyak pada penyelia saya, kaki tangan di Pejabat Am Pusat Pengajian Siswazah dan Pejabat Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam atas layanan baik mereka.

Lega yang teramat selepas saya menyerahkan disertasi tersebut. Selagi belum serah (baru serah untuk viva) terasa bagai ada batu besar atas kepala saya.

al-Hamdulillah Allah mengizinkan saya menyiapkan penulisan sarjana saya yang mencecah lebih 260 muka surat.

Saya juga rasa agak seronok menyiapkan tajuk tersebut "Sejarah Perluasan Kuasa Islam Zaman Kerajaan Umayyah..."

Walaupun tak tahu lagi bagaimana akan disoal jawab oleh para pemeriksa. Harap-harap taklah teruk kena ganyang nanti.

Walaupun sebelum ini, saya pernah diviva ketika peringkat sarjana di Universiti al-Albayt 10 tahun yang lalu.

Apa-apa pun hari ini memang saya lega sungguh...al-Hamdulillah.

Rabu, 29 April 2009

Viva di bumi Jordan...




al-Kisahnya saya telah ditempatkan di Universiti al-Albayt Mafraq, Jordan selepas berjaya mendapat tawaran biasiswa Bahasa Arab seberang laut tajaan KPM tahun 1994. Cerita lama dah ni.

Maki saya bersama 200 pelajar Malaysia tajaan KPM, JPA dan Yayasan Pahang cukup bimbang dengan penempatan kami di sana. Maklumlah sebelum itu, pelajar2 Malaysia hanya ditempatkan di Mu'tah, Urduniyyah dan Yarmuk sahaja.

Kami generasi pertama al-Albayt. Antara yang menggerunkan pelajar2 di Jordan ialah di Universiti ini memiliki subjek paling banyak iaitu 51 madah (subjek) berbanding universiti lain yang cuma 45 sahaja. Lebih 2 semester...

Juga yang mengecutkan perut, mana2 pelajar nak lepaskan diri daripada universiti ini perlu menyiapkan tesis dan kena bentang di khalayak rama seperti pelajar2 sarjana (master). Kena cakap bahasa Arab depan khalayak ramai, menjadi tontonan...kecut semua orang.

Namun, berkat ketabahan dan sedikit kerdil seorang manusia yang cuba bercita2 besar akhirnya saya diizinkan Allah untuk menyiapkan juga tesis saya.

Pelajar ketiga Malaysia yang berjaya membentangkan tesis di khalayak ramai selepas sahabat saya Ustaz Samsul Helmi dari Pahang dan Ustaz Badrul Hisyan Yasin dari Terengganu.

Dengan mendapat 79% markah tesis, akhirnya saya bebas daripada Universiti al-Albayt.

Kini, saya menunggu situasi yang sama di bumi UKM untuk peringkat sarjana saya. Bilakah saya boleh membebaskan diri saya kali ini....

Ya Allah...permudahkanlah hambamu ini.

Ya Allah! Mudahkan Bagiku Yang Tak Mudah...

"Sahrul! Camne sarjana anta, dah selesai ke?"

Ini adalah antara soalan yang paling kerap saya terima untuk tahun 2009 ini. Kawan-kawan tak tanya pada saya, anak dah berapa atau sekarang pakai kereta apa?

al-Hamdulillah permohonan saya untuk menyambung belajar dalam peringkat sarjana telah dimakbulkan Allah. Saya dapat tawaran cuti belajar bergaji penuh. Seronok sakan saat itu.

Tahun 2007 sehingga 2008 adalah tahun saya bergelumang dengan buku lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan tarikh Islam, pengkhususan yang saya pilih dalam peringkat sarjana.

Tentunya untuk memiliki segulung ijazah sarjana menuntut semangat yang tinggi. Tidak hairanlah ramai sahabat kita yang tercicir di tengah perjalanan.

Setelah saya sendiri melalui proses ini, barulah saya sendiri mengetahui cabaran untuk memiliki sarjana.

Pengalaman saya, dalam keghairahan kita mengejar matlamat murni ini, saya tetap mendokong falsafah "Kalau dah rezeki kita, pasti akan kita genggam tetapi kalau dah bukan rezeki kita, apa yang dah masuk ke perut pun boleh terkeluar kembali"

Ya...ramai dah berusaha, siang malang membelek buku, jurnal. Berulang alik ke pelbagai perpustakaan, mengadap komputer sehingga rabun mata dan tidak jemu-jemu bersemangat mengadap penyelia,

... namun akhirnya masih lagi yang tak nampak bilakah akan berakhirnya penantian semata-mata kerana segulung "sarjana".

Sabarlah semua, angkatlah tangan pada yang Maha Pemurah...kalau rezeki kita tak akan ke mana, tetapi kalau bukan kita punya maka redhalah denganNya.
Old Post ►
 

Copyright 2012 Liputan Sejarah Indonesia: VIVA Master Template by Bamz | Publish on Bamz Templates