Tampilkan postingan dengan label Ramadhan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Ramadhan. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 10 Oktober 2009

Meneruskan Roh Ramadhan...

Pertamanya Ucapan Maaf Zahir dan Batin untuk semua...

Maaf kerana untuk tempoh yang lama, terbekunya blog ini.

InsyaAllah semoga akan diberi kesempatan berblog selepas ini...

Sudah lebih sebulan kita ditinggalkan Ramadhan. Kemudian Syawal pula datang dan hanya beberapa hari sahaja lagi ia pula akan berlalu.

Namun, kemeriahan Syawal masih terasa. Beraya, makan-makan, jalan-jalan memang selari dengan jiwa manusia.

Dengan kemeriahan dan keghairahan tersebut, ayuh kita beringat-ingatlah. Beringat akan susah payah kita selama 30 hari di bulan Ramadhan yang lalu kita kita 'repair' diri kita,

Jom kita teruskan projek-projek baik yang dulu kita dah buat.

1. Dulu kita puasa setiap hari di bulan Ramadhan
Tapi macam mana yang cuma 6 hari di bulan Syawal. Dah beres?

2. Dulu setiap malam solat sunat sekurang-kurang 8 rakaat
Tapi sekarang jaga tak solat malam walaupun dengn hanya 2 rakaat

3. Dulu berusaha sungguh menghabiskan 1 juzuk satu hari, agar sempat khatam al-Quran
Tapi sekarang ada tak baca sekurang-kurang satu lembar sehari

4. Dulu bayar RM7 untuk bayar zakat fitrah, sedekah untuk orang susah
Tapi sekarang ada plan tak untuk buat 'korban' yang satu bahagian perlu RM350

5. Dulu jaga mulut, mata, telinga
Tapi sekarang bagaimana. Dok makan sana-sini tak henti-henti bimbang jadi darah tinggi


Semuanya adalah pilihan kita, iman kita.

Tak perlu salahkan sesiapa...

Minggu, 13 September 2009

Ramadhan antara kuantiti vs kualiti

Sirah mencatatkan bahawa Rasulullah s.a.w hanya merasai 9 kali sahaja kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Jika mengikut kuantiti, barangkali ada di antara kita umat Islam yang sudah berkali ganda lebih banyak berpuasa jika dibandingkan dengan baginda s.a.w. Mungkin sudah sekali ganda kepada mereka yang sudah bertemu 18 kali puasa Ramadhan, atau telah 2 kali ganda jika sudah bertemu 27 kali puasa Ramadhan atau 3 kali ganda jika sudah bertemu 36 kali puasa Ramadhan.

Puasa Ramdhan diwajibkan pada bulan Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Adapun Rasulullah s.a.w. wafat pada tahun ke-11 Hijrah. Ini bermakna baginda s.a.w. hanya sempat bertemu 9 kali Ramadhan sahaja. Kewajipan puasa Ramadhan berlaku sebulan selepas peralihan arah kiblat dari menghadap ke Baitulmaqdis di Palestine ke Kaabah di Mekah. Iaitu selepas 18 bulan Rasulullah s.a.w berhijrah dari kampung kelahirannya di Mekah ke Madinah al-Munawwarah.

Andai hari ini seorang Islam telah berumur 40 tahun maka sebenarnya dia sudah berpuasa Ramadhan sebanyak 30 kali (tolak 10 tahun sebab belum baligh), membayar 40 kali zakat fitrah dan telah beribu kali kita menunaikan solat. Jika kita menghitung 5 kali solat sehari semalam dan didarabkan dengan 365 hari kali dalam setahun dan kemudian dikalikan dengan tempoh umurnya selama 30 tahun. Itu jika seseorang yang sudah berumur 40 tahun. Cuba bayangkan pula jika orang yang sudah sampai melewati umur 60 tahun. Maknanya dia sudah bertemu 50 kali bulan Ramadhan, sudah 60 kali membayar zakat fitrah dan entah berapa banyak kali dia sudah mengerjakan solat. Bahkan mungkin sudah dua tiga kali menunaikan ibadat haji.

Jika dicongak-congak nombor-nombor tersebut, sudah berapa banyak pahala yang kita sudah dapat jika dengan selama umur kita yang panjang ini kita lakukan setiap ibadat-ibadat ini dengan sebaik-baik mungkin. Sebagus-bagus yang boleh. Yang paling cemerlang dan yang terbaik. Tentulah cukup banyakkan?

Namun, kita semua perlu sedar bahawa kaedahnya bukan dikira siapa yang paling banyak tetapi siapa yang terbaik dan terbagus. Ya, siapa yang paling baik dan paling cemerlang. Firman Allah yang bermaksud Untuk menguji kamu siapa yang paling baik di antara kamu dari segi amalan. (Surah al-Mulk: ayat 2)

Apa ertinya kita banyak mendirikan solat banyak, banyak berpuasa, sering sedekah dan pergi berulang alik menunaikan ibadat haji, jika semua ibadat yang dikerjakan ini tiada berkualiti dan tidak bagus. Mendirikan solat lima waktu sehari semalam tanpa khusyuk, menunaikan haji tetapi tidak beroleh yang mabrur dan rajin berpuasa tetapi sekadar puasa dengan semata-mata tidak makan dan tidak minum.

Oleh sebab itulah kita ingin sama-sama bermuzakarah, bersoal-jawab, bertazkirah dan saling ingat mengingati saling saling berpesan-pesan. Berpesan-pesan perihal ibadat puasa Ramadhan yang kita lakukan hanya sebulan dalam setahun ini. Semuanya hanya semata-mata untuk kita menambah baguskan ibadat puasa Ramadhan kita ini.

Kita bukan mahu membicarakan berapa banyak kita sudah bertemu Ramadhan atau saling berbangga dengan banyak Ramadhan yang telah kita lalui, tetapi kita hendak muhasabah sejauh mana kualiti puasa Ramadhan yang telah kita lalui dan yang sedang kita lalui ini.

Semoga kita dapat melakukan yang terbagus dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan kerana Allah amat suka kepada para hambanya yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Seperti yang telah disebutkan bahawa Allah mewajibkan puasa Ramadhan pada tahun yang kedua hijrah. Setelah 15 tahun usaha dakwan baginda s.a.w. Puasa Ramadhan belum difardhukan semasa era dakwah di Mekah berbanding ibadat solat yang mula difardhukan ketika peristiwa Israk dan Mikraj semasa baginda s.a.w di Mekah.

Mengapakah perintah puasa ini datang lewat? Datang selepas 15 tahun lamanya selepas Rasulullah s.a.w berdakwah mengajak orang Arab kepada Islam. Apakah sebab memerlukan masa yang begitu lama sebelum difardhukannya?

Ini kerana mendidik nafsu adalah antara sepayah-payah perkara, maka kewajipan berpuasa adalah lewat iaitu selepas peristiwa hijrah. Selepas jiwa umat Islam terdidik kukuh dalam perkara tauhid, solat dan perintah-perintah al-Qur’an.

Sehingga kini pun kita sering tertewas dengan nafsu. Nafsu yang mengajak kepada perbuatan yang tidak baik. Pada bulan Ramadhan ini kita dilatih untuk berlawan dengan musuh kita iaitu nafsu kerana pada ketika ini syaitan sedang dibelenggu. Sepanjang Ramadhan kita diajak untuk menundukkan nafsu kita yang mendorong kepada keburukan.

Nafsu kita mendorong untuk kita berboros atau berbelanja berlebih-lebihan di bazaar Ramadhan, bermalas-malas dalam melakukan ibadat seperti membaca al-Qur’an, bersolat Terawih, bersedekah kepada orang kurang bernasib baik, bertahajjud di malam hari, menunjuk-nunjuk dengan pakaian baru kepada orang lain dan sebagainya.

Bukankah di penghujung ayat 183 dari surah al-Baqarah, Allah telah menyatakan yang bermaksud “supaya kamu bertaqwa”. Ya, dengan kamu berpuasa “supaya kamu bertaqwa”. Inilah misi mengapa kita diwajibkan berpuasa. Takwa ialah benteng. Benteng yang menjaga diri kita daripada melakukan perkara yang boleh mengundang murka Allah dan azab siksaan-Nya, dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Adapun semata-mata kita menahan diri daripada makan dan minum sahaja, maka puasa kita itu belum betul-betul sempurna dan layak mendapat pahala terbaik. Bukankah nabi s.a.w telah mengingatkan kita yang berpuasa tetapi tidak mampu meninggalkan kata-kata dusta, keji maka lebih baiklah tidak berpuasa.

Marilah kita menjadikan peluang puasa Ramadhan kali ini dengan sebaik-baiknya. Dengan sebaik-baiknya untuk kita menundukkan nafsu agar kita dapat beroleh takwa. Kita berusaha melawan nafsu yang mengajak kepada keburukan, kita berusaha membangunkan takwa dalam diri semoga menjadikan puasa kita puasa yang terbaik dan benar-benar berkualiti menurut apa yang dituntit oleh Tuhan.

Sabtu, 05 September 2009

Tahu hasil kemenangan atau bagaimana mereka menang?

Bulan Ramadhan telah menjadi saksi kepada beberapa kemenangan tentera Islam dalam sejarah.

Antara yang paling masyhur, tentulah Perang Badar selain Pembukaan Kota Mekah, Perang Ain Jalut dan Pembukaan Armenia.

al-Maklum pada tanggal 17 Ramadhan ialah tarikh berlakunya peristiwa Perang Badar walaupun di negara kita tarikh 17 Ramadhan ini lebih dikaitkan dengan peristiwa nuzul al-Qur'an.

Saya teringat ketika saya dan rakan-rakan di bumi Mafraq, Jordan kira-kira 10 tahun yang lalu. Kami menyusun program menyambut Nuzul al-Qur'an pada malam 17 Ramadhan tetapi penceramah yang dijemput iaitu syaikhuna Doktor al-Qadir bin Abdul Rahman al-Saadi mengubah kepada perbicaraan Perang Badar. Baginya 17 Ramadhan adalah tarikh memperingati Perang Badar.

Ramai penceramah apabila menceritakan sejarah Perang Badar ini hanya menceritakan perihal suasana perang, bilangan tentera Islam dan musuh, perlawanan satu lawan satu antara kedua belah pihak, bantuan Malaikat daripada Allah, Rasulullah mengambil pendapat dari Muhajirin dan Ansar untuk berperang, bilangan tentera Islam yang syahid dan jumlah kematian tentera kafir, peranan Abu Sufyan dan Abu Jahal, perihal tawanan musuh dan catatan hasil 'kemenangan' tentera Islam dalam perang tersebut.

Ya, memang semua ini penting bagi membangkitkan rasa bangga kita di atas kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah pada bulan Ramadhan tahun 2 hijrah. Tentera yang hanya berjumlah 315 orang mampu mengalahkan tentera yang 3X ganda lebih ramai.

Tetapi yang perlu juga diuar-uarkan bukan semata-mata 'hasil kemenangan' yang dicapai kerana ramai antara kita yang telah tahu perkara tersebut sekian lama.

Yang perlu kita lebih tahu ialah bagaimana persedian Rasulullah saw dan para sahabat dalam menghadapi perang tersebut.

Sebagaimana diriwayatkan bagaimana Rasulullah bersolat di bawah sebatang pokok dan menangis sehingga waktu subuh. (Hayatus sahabat: al-Solat fi sabilillah)

Bagaimana Rasulullah berdoa mengadap kiblat lalu berkata " Wahai Tuhan! Tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. Jika Engkau binasakan kumpulan ini (tentera Islam) maka Engkau tidak akan disembah lagi di atas muka bumi ini selama-lamanya"

Beginilah persediaan tentera Islam menghadapi perang. Mereka bangun malam, berdoa, mengalirkan air mata berdoa pada yang Maha Agung, membaca al-Qur'an.

Ketika semakin hampir antara tentera Islam dan tentera Rom dalam Perang Yarmuk, al-Qubuqlar yang menjadi ketua Rom telah mengutus seorang lelaki Arab. Kemudian beliau bertanya "Siapakah di belakangmu?"

Lelaki itu menjawab "Mereka adalah para rahib di waktu malam dan para pejuang di waktu siang"

Begitulah ketika bertanya Hercules "Bagimanakah kamu boleh tewas?" Menjawab salah seorang pembesar mereka "Kerana mereka mendirikan malam (qiamullail) dan berpuasa di siang hari"

Ayuh... peranan kita adalah bukan semata-mata menghebahkan kemenangan dan kehebatan umat Islam yang telah tercatat kukuh dalam lembaran sejarah tetapi perlu membongkar 'sebab-sebab' yang membawa kemenangan dan kehebatan tersebut.

Agar menjadi ikutan kita semua...

Kehebatan luaran adalah lahir dari kehebatan dalaman. Lavar gunung berapi hanya akan muntah lalu menyuburkan tanah-tanah di sekitarnya hasil menggelegaknya api yang berada di dalamnya.

Kamis, 27 Agustus 2009

Bulan Ramadhan Bukan Hanya Ada Puasa Sahaja!!!!

Bulan Ramadhan seperti juga bulan-bulan lain. Ada 29 atau 30 hari sebulan. Ada siang dan ada malam. Ada hari panas dan ada hari hujan. Ada orang sihat yang mampu berpuasa dan ada orang sakit yang tidak berkuasa untuk berpuasa. Ada orang menetap dan ada orang yang bermusafir. Tidak hairanlah jika kita kata Perang Badar sendiri berlaku di bulan Ramadhan.

Sebenarnya di dalam bulan yang mulia ini bukan hanya terbatas suruhan ibadat puasa semata-mata. Ada juga ibadat-ibadat yang lain yang banyak. Oleh sebab itulah, janganlah kita Cuma setkan minda kita dengan puasa sahaja tetapi kita lupa untuk melakukan ibadat-ibadat lain yang juga dikali gandakan pahalanya sempena Ramadhan ini.

Puasa cuma 12 jam sahaja dan cuma dilakukan di siang hari semata-mata. Apa yang kita buat 12 jam yang baki, adakah untuk relaks-relaks atau buang masa sahaja. Adakah sepanjang 12 jam di waktu siang itu kita hanya menjaga untuk tidak makan dan tidak minum semata-mata. Tentulah ada jalan lain yang boleh kita lakukan untuk melakukan kerja-kerja yang banyak, ibadat-ibadat yang lain yang semunya digandakan pahalanya. Kita lupa ke?

Bagi para isteri tentulah jika hendak dibandingkan pahala dengan para suami mereka lebih banyak. Maklumlah dia terpaksa bangun di awal pagi untuk menyediakan makanan sahur untuk seisi rumahnya, terpaksa mengejut bangunkan para ahli puasa yang mungkin terpaksa dikejut beberapa kali. Bagi yang memiliki anak-anak yang masih kecil, dia terpaksa memujuknya pula agar mereka kuat untuk turut berpuasa. Tidak cukup itu, selepasnya nanti dia terpaksa mengurus pinggan mangkuk pula untuk dicuci.

Apabila tiba waktu petang, di saat orang lelaki mungkin sudah boleh bersantai bermotosikal menghirup angin kampung untuk menunggu waktu berbuka, beliau seorang dia sibuk pula untuk menyiapkan hidangan berbuka. Begitulah juga, semasa para suami sudah bersiap sedia untuk bergerak ke masjid bagi mendirikan solat Sunat Terawih tetapi mungkin masih mengurus dapurnya.

Namun, wahai para lelaki, abang-abang! Sanggupkah anda menerima dan terus menerima hakikat ini. Anda tidak mahu ke berlumba-lumba mengumpul pahala puasa? Bukankah besar pahala bagi orang yang membantu orang lain untuk berbuka puasa. Isteri-isteri kita, ibu-ibu kita, anak-anak perempuan kita pun berpuasa macam kita. Mereka pun letih tetapi sanggup berkhidmat itu dan ini kerana yakin dengan ganjaran pahalanya.

Janganlahlah cuma tolong makan dan minum sahaja. Apa boleh saya buat, saya ni orang lelaki? La… banyaklah kerja yang kita boleh tolong, asalkan kita sudi untuk menghulur bantuan untuk meringankan kerja-kerja mereka. Mereka pun tentulah gembira jika kita boleh menolong. Tolong apa yang boleh saya buat?

1. Tolong siang ikan
2. Tolong bancuh air minum
3. Tolong membersih dan mengelap meja makan
4. Tolong menghidangkan juadah sahur atau berbuka puasa

Ini jika kita ingin mengumpul pahala dalam rumah. Maksudnya? Maksudnya kita boleh juga mengumpul pahala-pahala dengan melakukan kerja-kerja di luar rumah kita. Selain pahala yang memang kita semua telah sedia maklum.

1. Membersihkan tandas-tandas surau
2. Menyapu, mengemop, membersih dan mengvakum surau
3. Menyusun tikar-tikar dan sejadah-sejadah sehingga ke beranda surau
4. Memasang setiap lampu-lampu surau

Begitulah juga, selepas selesai jemaah surau mendirikan solat Terawih dan menjamu moreh:
1. Mengemas dan melipat kembali tikar-tikar dan sejadah-sejadah
2. Menyapu lantai surau dan mengemopnya (jika perlu)
3. Menutup semula suis-suis lampu dan kipas yang dibuka


Banyak lagi amalan-amalan yang mungkin juga boleh kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan;

1. Menghulur sedikit juadah berbuka kepada jiran-jiran
2. Memberi sedekah 3-4 biji buah tembikai kepada rumah anak yatim
3. Memberi sedekah air mineral dan buah tamar untuk surau dan masjid bagi juadah berbuka

Sebenarnya, bulan Ramadhan adalah medan yang membuka seluas-luasnya ruang untuk kita mengumpul sebanyak-banyakknya pahala. Apatah lagi pada bulan ini sahajalah, setiap amalan itu akan digandakan pahalanya.

Selamat berpuasa dan berkhidmat untuk semua…

Senin, 24 Agustus 2009

Waktu Masuk vs Waktu Keluar

Jom kita bermonolog dengan diri kita.

Cuba kita ingat-ingat... Ketika hari pertama kita bersekolah rendah atau mungkin ketika di tadika. Kita tak tahu apa-apa. Tak tahu membaca, mengira dan menulis. Namun selepas tamat sekolah rendah, kita berubah. Dah boleh membaca, menulis dan mengira. Ada Perubahan dan hasil baru.

Begitu juga ketika naik tingkatan. Mula-mula masuk mungkin kita tak kenal ada subjek perdagangan, prinsip akaun dan ERT. Bagi kelas sains pula tak kenal apa itu matapelajaran kimia, fizik dan Add mate. Bagi aliran agama pula tak kenal Tasawwur Islam, Bahasa Arab tinggi. Namun, selepas tamat tingkatan 5, kita tahu dah semua tu.

Sebelum tak tahu, kosong tetapi selepas melalui sekolah rendah kemudian sekolah menengah kita sudah tahu. Sebenarnya samalah juga sebelum masuk Universiti dan selepas graduasi. Mesti sebelum masuk lain dan selepas masuk lain.

Sebelum masuk sekolah, maahad tahfiz, politeknik, universiti atau maktab lain dan selepas masuk, selepas tamat jadi lain. Ada perubahan positif.

Begitulah yang sepatutnya bagi kita dalam madrasah atau universiti Ramadhan ini. Sebelum masuk iman lemah tetapi selepas masuk semakin kuat kerana telah melaui tarbiah Ramadhan.

Kalau sama sahaja? Alamakkk... sama sahajalah orang tak masuk sekolah. Dak sekolah pun tak boleh membaca, menulis. Rugilah, buang masa.

Ingat-ingatlah kita sama-sama... Cuma sebagai renungan minda kita.

Program Ihya' Ramadhan


Assalamualaikum semua...

Dah lama sebenarnya saya nak mengucapkan salam buat semua teman seIslam. al-Hamdulillah sepanjang Rejab dan Syaaban saya diberi kesempatan oleh Allah untuk berkongsi sedikit rezeki ilmu.

Sepanjang Syaaban, ceramah-ceramah saya berkisar tajuk Ramadhan. al-Hamdulillah pada tahun ini saya berkesempatan pergi ke masjid atau surau yang buat kali pertama kaki saya ke sana.

Antaranya Surau al-Siddiqin, Rawang. Juga surau Nur al-Sham di Kuala Langat dan beberapa tempat lain di Masjid Kg. Sungai Udang Klang, Surau Taqwa (ada aircond) di Palm Grove Klang, SMK Jenjarum Kuala Langat, SMK PUlau Indah Klang, Surau Kuarters Guru USJ, Surau Yahya Perkampungan Darul Mujahidin, Surau al-Syakirin Pinggiran USJ dan banyak lagi.

Salam ukhuwwah, ucapan Ramadhan Karim dan syukran jazilan kepada yang mengundang saya. Semuga sedikit ilmu yang telah dikongsikan diberkati dan mendapat manfaat bersama.

Amin...

Minggu, 16 Agustus 2009

Uar-uarkan Yang Hebat...

Temujin adalah tokoh besar. Beliau berjaya menyatukan bangsa tatar dan mongol menjadi satu bangsa yang kuat.Beliau kemudian dikenal dengan nama Genghis Khan dan dilantik sebagai Khan al-A'zam (maharaja agung).

Kerana ingin anaknya menjadi contoh kepada datuknya yang hebat, maka ibu Hulagu sering menyebut dan menguarkan kehebatan sang datuk kepada anaknya Hulagu, yang merupakan cucu Genghis Khan.

Sorhgagthani Beki, ibu kepada Hulagu yang merupakan cucu Genghis Khas sering berkata kepada Hulagu...

"Anakku, apabila besar kelak jadilah seperti datukmu. Suaranya kuat seperti halilintar, tangannya lebih perkasa dari beruang jantan. Beliau boleh mematahkan leher lawannya seperti dia mematahkan ranting kayu. Pada musim sejuk dia tidur tanpa berpakaian berhampiran dengan unggun api. Percikan bara api jatuh pada badannya dianggap seperti gigitan semut sahaja" (Hulagu Khan: Abdul Latip Talip, 2009, PTS)

Kata-kata hebat oleh ibu yang hebat berkaitan cerita yang hebat dapat mempengaruhi jiwa anak yang akhirnya menjadi tokoh yang hebat. Hulagu Khan akhirnya membesar dan di bawah pimpinan beliaulah akhirnya tentera Mongol telah menjatuhkan ibu kota empayar Islam pimpinan Kerajaan Abbasiyah, Baghdad pada tahun 656 Hijrah.

Besarkan pengaruh menceritakan yang hebat...

Apakah kita telah menceritakan pada anak-anak kita, keluarga kita, anak didik kita, orang-orang di bawah kuasa kita tentang 'kehebatan Ramadhan' agar ia dapat mempengaruhi mereka.

Uar-uarkanlah kehebatan Ramadhan buat semua agar sama-sama kita dapat menjiwai kehebatannya.

Namun, masih ada antara kita yang masih diam membisu. Tidak hairanlah sehingga saat ini kita masih belum melihat kehebatan Ramadhan ini meledak bagaikan lahar gunung berapi.

Ayuh! Kita semua bertanggungjawab menguar-uarkan kehebatan bulan agung lagi barakah ini...

Sabtu, 08 Agustus 2009

Panggilan iman untuk Ramadhan....


Tanggal 25 hb saban bulan merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh kebanyakan orang. Sebab mereka yakin pada tarikh tersebut ada habuan besar. Ya, kemasukan gaji bagi ramai pekerja.

Tarikh tersebut sering dinanti-nanti, dengan penuh kesungguhan.

Tentunya ramai antara kita memiliki tarikh-tarikh 'keramat' yang paling dinanti-nanti kedatangannya.

Itulah dalam kehidupan fizikal kita yang biasa, kehidupan duniawi kita.

Di samping banyak tarikh tertentu, bagi kita umat Islam memiliki tarikh bertuah yang pasti akan datang saban tahun menjenguh kita semua dengan membawa buah tangan yang banyak lagi barakah.

Namun, persoalannya sejauh manakah perasaan kita dalam menanti tarikh tersebut. Ya ketibaan tarikh 1 Ramadhan.

Mengapa sehingga kini belum diuar-uarkan ketibaan tarikh besar ini. Mengapa tiada 'countdown' Ramadhan sedangkan upacara-upacara besar yang lain biasanya ada.

Apakan ia bukan upacara besar bagi kita umat Islam!

Ayuh semua!

Jika ramai yang lupa, buat-buat lupa, saja-saja melupakan... biarlah mereka tetapi bukan KITA, bukan KELUARGA KITA.

Mari kita hebahkan kehangatan untuk menyambut ketibaannya. Kita ajak seluruh anak isteri kita bersama.

Benarlah, Ramadhan itu adalah panggilan iman dari Tuhan.

"Wahai orang-orang yang beriman!..." panggilan dariNya

"Ya,,,Allah" Orang yang beriman segera menyahut.

"Telah diwajibkan kepada kalian berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh takwa"

Selasa, 04 Agustus 2009

Ihya' Ramadhan di Rawang

al-kisahnya buat pertama kali saya mendapat ceramah di kawasan Rawang. Kali ini kembara ilmu saya ditemani oleh Ustaz Herman.
Mulai malam itu sehinggalah akhir Ramadhan saya akan menumpukan perbicaraab berkaitan dengan kehebatan bulan Ramadhan dan puasa Ramadhan itu sendiri. Beza tu...

Ramai orang yang menyangka bahawa bulan Ramadhan hanya ada puasa. Maka kita lupa di bulan ini juga ada tadarus, solat terawih, bersedekah, iktikaf dan bermacam-macam ibadat lain yang dikali gandakan pahala-pahalanya.

Sebab itu, Ramadhan bukan hanya bulan puasa kerana terdapat amalan-amalan lain yang banyak.

Ramadhan adalah pesta, pesta ibadat. Berpesta-pestaan adalah berseronok. Ramadhan adalah pesta iaitu berseronok-seronok dalam mengejar semua tawaran yang diberikan oleh Allah sepanjang Ramadhan.

Sabtu, 01 Agustus 2009

Bulan Baik…Ada Ke Bulan Jahat?



Setiap kali hendak tiba bulan Ramadhan, maka semua umat Islam seantero dunia akan menyiapkan diri menyambut ketibaanya dari segi mental dan fizikal. Yang biasa kita dengar ialah mereka menyebut hendak menyambut ‘bulan mulia’ atau ‘bulan baik’. Ketika saya belajar di Universiti al-alBayt, Jordan dahulu, orang Arab apabila menyambut ketibaan Ramadhan maka mereka akan menghulurkan ucapan ‘Ramadhan Karim’ yang bermaksud bulan yang mulia atau ‘Ramadhan Mubarak’ yang bermaksud bulan yang diberkati.

Saya yakin semua orang pasti bersetuju sangat jika kita katakan memang Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan baik. Memang Ramadhan adalah bulan yang sangat diberkati. Ya…bulan yang terletak dalam susunan yang kesembilan daripada 12 bulan-bulan Islam ini memang bulan yang cukup istimewa dan penuh kemuliaan.

Dalam setahun ada 365 hari, ada 12 bulan, ada 52 minggu serta ada beribu-ribu jam, minit dan saat. Namun, yang menjadi persoalannya adakah kemuliaan ini hanya terletak pada Ramadhan sahaja? Bagaimana bulan-bulan yang lain. Tidak mulia ke? Bukankah kita selalu juga begitu gembira apabila menyambut awal Muharram yang menandakan tahun baru Hijrah. Bukankah kita begitu berbangga apabila tiba bulan Zulhijjah di mana pada 10 haribulan, ribuan umat Islam seluruh dunia sedang berhimpun di tanah suci untuk mengerjakan ibadat Haji. Adapun yang berada di tanah air pula, ramai yang berlumba-lumba menunaikan ibadat korban.

Ini bermakna setiap bulan ada cerita dan kemuliaan masing-masing. Kita tidak menafikan memanglah bulan Ramadhan telah memberi peluang dan ruang kepada kita untuk memuliakan diri kita dengan amalan ibadat yang dijanjikan pahala berlipat-lipat kali ganda. Tetapi tidak bermakna pada bulan-bulan lain kita tidak memburu kemulian yang dihidangkan Tuhan untuk kita menambah pahala lagi dan lagi.

Perkara yang saya sering tertanya-tanya juga, jika ada bulan baik maknanya ada ke bulan jahat? Jika ada bulan mulia, maka ada ke bulan tidak mulia? Semua saat, minit, jam, minggu, bulan dan tahun adalah mulia jika kita melakukan kerja mulia dengan niat yang mulia untuk mencari redha daripada Yang Maha Mulia.

Kita memang amat yakin dengan kemuliaan Ramadhan tetapi janganlah lupa bahawa di bulan-bulan lain juga ada dosa pahala dan ada catatan amalan baik dan amalan buruk. Ayuh kita memperkasakan iman kita setiap waktu, apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia.

Sumber: Sahrulazmi Sidek, I Love Ramadhan, hlm. 18

Puasa @ puas-puas?

Puasa Atau Puas-puas?


Apa perbezaan antara puasa dan puas? Tentulah besar perbezaan antara puasa dan puas atau puas-puas? Berbeza dari segi ejaan, bunyi sebutan dan maknanya.

Puasa Ramadhan ini datang sekali-sekala. Sepanjang Ramadhan kita ingin merasa juadah berbuka yang terenak. Maklumlah sudah 12 jam kita berlapar dan berdahaga. Puas saya jika dapat makan seekor ayam golek, 2 ekor ikan keli bakar dan… Puas saya kalau dapat minum…

Hari Raya Aidilfitri pun begitu juga. Kita semua sudah arif dan maklum. Namun, kita amat risau jika kerana ia sekali-sekala maka kita pun tersasar dalam meraikannya. Kita terlupa, terleka dan terikut-ikut sama. Apabila sudah sekali-sekala maka kita pun beranggapan ia perlu disambut dengan semeriahnya. Kita selalu kata “Apalah salahnya…”, iakan setahun sekali. Apalah salahnya, itulah yang salah jika menyebabkab kita membazir, lupa daratan, ingin berlawan-lawan untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Sofa yang lama perlu diganti dengan yang baru. Langsir dan cadar katil pun turut sama perlu ditukar ganti dengan warna dan corak yang lebih sesuai dan terkini. Semua mestilah baru sebab hari raya nanti, rumah kita akan dikunjungi orang ramai dan saudara mara. Malulah kita jika masih menggunakan benda-benda yang lama.

Bukan sekadar perhiasan di dalam rumah yang perlukan perhatian tetapi yang di luar pun juga jangan terlepas pandang. Sudah 12 bulan cat rumah tidak bertukar ganti. Kalau dahulu sudah 12 bulan berwarnakan biru muda, maka tahun ini mata kita jatuh cinta pula pada warna hijau muda dan coklat pula. Tentulah nafsu kita berbisik-bisik di telinga “Takkanlah perabut di dalam rumah cantik berseri tetapi di luar rumah tidak berganti”

Baju raya perlu juga yang baru, daripada jenis kain terkini, ditempah mengikut fesyen terbaru. Mungkin tidak cukup sepasang tetapi perlu kepada berpasang-pasang kerana kita telah berpuasa sebulan lamanya. Puasa sebulan, maka hari rayanya juga perlulah diraikan sebulan lamanya. Kalau sudah menyambut hari raya 30 hari, mestilah perlu disediakan pakaian yang berpasang-pasang. Tidaklah canggung dibuatnya jika asyik memakai pakaian yang sama setiap hari.

Kuih-kuih muih beraneka jenis dan rasa juga perlu diambil kira kerana kita bakal meraikan tetamu yang akan datang mengunjung daripada saudara mara dan sahabat handai yang datang sekali sekala. Maka kita perlulah meraikan mereka dengan juadah yang paling enak, lazat dan sempurna. Supaya yang datang nanti akan puas apabila mengunjung ke rumah kita dan kita pun puas kerana melayan mereka dengan sebaik-baiknya.

Kita tentu seronok dan puas jika impian kita dapat kita tunaikan. “Emmmm, puas saya”. Apa yang puasnya bang, kakak, pakcik, makcik, adik? Pada 1 Syawal ini, rumah kita cukup berseri. Pakaian seluruh ahli keluarga kita telah kita sediakan. Puas dan puas. Puas kerana semuanya baru, mewah, berjenama, terkini, pelbagai dan terbaru.

Namun, inikah yang kita inginkan daripada Ramadhan yang kita lalui sepanjang 30 hari ini? Beginikah yang ingin dipersembahkan kepada Tuhan? Kita ingin berpuasa atau berpuas-puas pada yang sia-sia. Benarkah ini yang dituntut oleh agama? Adakah sepanjang bulan Ramadhan ini kita diminta berlumba-lumba untuk mengumpul pahala atau berlumba-lumba menjadi loba?

Perlu dan mestikah kita sambut hari raya dengan mewah, baru, berpasang-pasang, berjenama dan berpuas-puas. Apakah kita fikir anak jiran sebelah rumah kita akan dapat apa yang dia akan lihat pada kita. Alangkah sedihnya dia jika melihat kita berbaju baru sedangkan dia di pagi ini sedih dan pilu mengenangkan nasibnya yang yatim piatu, yang tiada ini dan itu

Fikir-fikirkan…

(Sumber: Sahrulazmi Sidek, 2009, I Love Ramadhan, cetakan ke-2, hlm. 164)

Kamis, 25 September 2008

Kita Peserta Tarbiyah Ramadhan @ Penonton sahaja?

Assalamualikum saudara dan saudari seislamku semua. Semua kita terus ceria dan gembira di bulan Rahmat ini, Bulan Ramadhan al-Mubarak. Ayuh kita terus muhasabah diri kita supaya kita dapat sentiasa memperbaiki kekurangan2 kita. Topik muhasabah kita kali ini ialah;

Syok Jadi Penonton Atau Peserta?

Apa perbezaan antara menjadi penonton dan peserta? Mestilah berbeza. Penonton tidak terlibat secara langsung dengan sesuatu perkara. Dia hanya melihat daripada luar. Penonton duduk jauh-jauh tetapi peserta memang terlibat secara langsung dengan perkara tersebut. Sebagai contoh dalam perlawanan tarik tali. Peserta tarik tali memang terlibat dalam menarik tali, melawan, duduk dalam suasana pertandingan. Ada pun penonton sekadar tengok. Hanya boleh bersorak dan memberi sokongan daripada jauh. Hendak memegang tali pun tidak boleh. Pegang tali pun tidak boleh? Tidak boleh. Kenapa? La… awak hanya tukang tonton.

Ada lagi ke perbezaan penonton dan peserta? Mestilah ada. Memanglah kadang–kadang kita melihat ada penonton yang memakai jersi seperti peserta atau pemain. Sama warna. Sama bernombor. Ada nama lagi. David Beckam, Roberto Carlos, Drogba, Kaka, Nistelroy dan macam-macam lagi.

Cuba kita melihat pertandingan bola sepak di Malaysia. Kalau ada pasukan Selangor yang digelar Red Giants bertanding tentulah stadium itu penuh dengan jersi merah kuning sama seperti baju pemain di tengah padang. Kalau kumpulan sang Kenari tentulah di stadium itu penuh dengan warna hijau kuning. Kalau yang bermain itu pasukan peteh Terengganu peteh maka satu stadium akan kelihatan penyokong yang berbaju hitam putih.

Mungkin pasukan yang kita tonton dan sokong itu memenangi perlawanan tersebut. Sudah nama kita pun hanya penonton, bukan sahaja kita tidak terlibat dalam permainan bahkan kalau mereka terima hadiah, kita juga hanya boleh tonton sahaja. Daripada mereka mula sepak sampai mereka julang piala kita hanya sekadar tengok. Kita pula yang habis ribuan ringgit. Itulah nilai seorang penonton. Penonton hanya boleh menang sorak dan teriak. Sebab itu peserta kenalah selalu hargai jasa–jasa penonton. Sudahlah mereka bergolok–gadai ratusan ringgit, kita pulak yang menjadi pemain bermain tidak segah mana tentulah marah mereka. Kami penonton tidak mengharap untuk disanjung sebagai penonton tetapi macam mana kita orang hendak sanjung pemain kalau mereka pun tidak sebagus mana.

Tentulah kalau kita hendak membezakan antara penonton dan peserta, pesertalah jauh lebih beruntung. Dia yang main, dia yang disanjung, dia yang dapat sorakan ramai, dia yang menjadi seluruh perhatian mata, seluruh mata tertumpu ke arahnya dan dialah yang akan menjulang piala dan habuan. Seluruh rezeki tertumpu kepadanya. Begitulah kita dalam hidup, sekiranya kita hanya menjadi tukang tonton kita tidak akan meraih apa–apa. Memanglah penonton itu penting tetapi dia tidak akan ke mana-mana. Mereka hanya dapat memberi sorak dan teriak. Habis permainan, habislah peranannya sedangkan peserta dapat membawa pulang habuannya.

Bila kita selalu menjadi penonton? Mana saya suka hendak menjadi penonton? Selalu juga kita menjadi tukang tengok dan tukang tonton sahaja, cuma kita tidak menyedarinya sahaja. Kalau kita sudah sedar baguslah. Setiap hari kita melihat ramai sahabat–sahabat kita, saudara–mara kita, jiran tetangga kita terpilih untuk menghadiri solat–solat jemaah di surau dan masjid kariah kita tetapi kita dok asyik jadi tukang tonton. Tidak hendak turut serta ke? Kita pun kata, kita sibuk, ada urusan lain, belum sampai seru dan macam–macam. Ingat! kita sudah setujukan tadi yang penonton tidak dapat apa–apa.

Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, maka selalu kita memilih untuk menjadi penonton berbanding hendak menjadi peserta. Apabila di masjid atau di surau kita ada mengadakan tadarus Al–Qur’an maka masing–masing dengan pelbagai alasan menarik diri daripada menjadi peserta. Akhirnya apabila sampai ke acara final, malam khatam Al–Qur’an mahu atau pun tidak, kita pun hanya sekadar menjadi penonton.

Apabila bab sembahyang terawih pula, ramai juga yang memilih jalan hanya hendak menjadi penonton sedangkan mereka tahu sangat yang penonton tidak dapat untung apa–apa. Tidak dapat menjulang piala kemenangan dan mendapat apa-apa habuan. Mereka hanya suka melihat orang turun–naik rukuk dan sujud sehingga 20 rakaat solat terawih tetapi dia hanya menonton sahaja dari belakang masjid. Akhirnya apabila Ramadhan mencecah angka ke-30 nya dia hanya berpuas hati dengan statusnya sebagai penonton walaupun dia tahu bahawa dia tidak meraih sebarang habuan. Sedangkan para peserta dapat merangkul piala keampunan dan mendapat gelaran ‘al-a’idin wa al-faizin’ (yang kembali bersih dan yang juara).

Begitulah juga dalam ibadat–ibadat kita yang lain. Orang lain sudah 2-3 kali sampai ke tanah suci dia hanya sibuk menjadi tukang iring dan tukang tonton sahaja. Awak tu bila pula hendak menjadi pesertanya? Kalau umur sudah 40 tahun dan 50 tahun tetapi masih hanya jadi penonton, ini apa ceritanya. Baru-baru ini saya menyusun program 5 siri di masjid kampung saya belajar 55 kesalahan-kesalahan pembaca surah al-fatihah dalam solat dan pembetulannya. Dalam ramai-ramai peserta yang hadir itu, ada yang bertanya “kenapa ada 55 ustaz?” Lalu ustaz yang mengajar itu pun menjawab dengan seloroh “itu nombor simbolik umur orang pencen, ertinya kalau sampai umur pencen 55 tahun tetapi masih belum betul kita membaca al-fatihah, masalah lah kita”. Jadi pastikan kita selalu menjadi peserta bukan hanya penomton sahaja.

Tabung masjid sudah bergerak ke arah kita. Kita melihat semua orang kiri dan kanan kita sudah menyumbangkan sedikit hartanya tetapi apabila tabung itu sampai ke hadapan kita, kita hanya melihat sahaja. Jadi penonton. Tidak mahu hendak menjadi peserta. Peserta yang meraih kemenangan lantaran memberi sumbangan daripada sebahagian kecil rezekinya.

Orang lain pun ada kerja, penat bertemu kesesakan jalan lewat petang setiap hari tetapi sempat juga mengunjungi rumah Allah dan duduk sekejap menghadiri majlis ilmu dan makanan minda. Menjadi peserta di kuliah-kuliah agama di masjid. Bukankah kita selalu mendengar ulama berkata yang ilmu lebih bernilai daripada harta. Kata Saidina Ali bin Abu Talib karramallahu wajhah;

1. Ilmu pengetahuan dapat memelihara kita tetapi harta kita yang terpaksa memeliharanya.

2. Semakin bertambah ilmu semakin bertamban teman tetapi semakin bertambah harta semakin bertambah musuh.

3. Ilmu semakin dikeluarkan semakin bertambah tetapi harta semakin dikeluarkan semakin berkurang.

Mmm… amacam? Masih syok hendak jadi penonton atau peserta? Peserta. Tahu pun. Jom kita meraih kemenangan selepas kita menjadi peserta yang hebat. Bukan semua peserta akan menjadi pemenang dan menjulang kemenangan tetapi syarat untuk menjadi pemenang mesti menjadi peserta dahulu. Kalaulah menjadi peserta pun belum tentu hendak menjadi pemenang, jangan haraplah penonton akan menjulang kemenangan kerana kita bukan peserta!

Bukan semua peserta akan menjadi pemenang dan

menjulang kemenangan tetapi syarat untuk menjadi

pemenang mesti menjadi peserta dahulu

Sumber: Sahrulazmi Sidek, 2008, Yang Pelik Lagi Hairan, Karnadya Solution

Jumat, 19 September 2008

Dunia mencari manusia takwa...

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua!
Kita masih berada di bulan yang mulia dan kemuncak final Ramadhan. Namun, kita lihat abid-abid Tuhan semakin sibuk dengan persiapan hari raya daripadan mengejar tawaran2 Ramadhan. Sedangkan hari raya hanya layak untuk mereka yang menang dalam ujian 30 hari Akademik Ramadhan.
Kita mencari takwa sepanjang akademik 30 hari Ramadhan. Ramadhan adalah akademik selama 30 hari untuk melahirkan insan graduan bertakwa.
Hari ini ramai kita jumpa orang pandai. Di kampung kita sahaja sudah berpuluh, beratus orang yang memiliki ijazah lulusan universiti baik dari dalam atau luar negara. Tetapi surau dan masjid kita masih begitu juga, lengang, kurang dimakmurkan. Saya, kita dan anda serta mereka memang dah pandai2 belaka tetapi di mana takwa kita.
Hanya takwa yang mampu mendekatkan kita dengan Tuhan. Yang mampu menarik pandangan Tuhan pada kita. Menarik kasih sayang Dia pada kita yang kerdil dan lemah ini.
Ayuh...teruskan usaha kita di baki2 terakhir Ramadhan ini untuk kita terus berusaha merebut takwa agar kita mendapat tempat di mata Tuhan. Amin...

Senin, 15 September 2008

Zikrayat 17 Ramadhan...Perang Badar al-Kubra

Selamat berpuasa semua...mudah-mudahan kita beroleh takwa Tuhan.

Saudara-saudariku semua!

Sepanjang hayat Rasulullah saw, telah berlaku lebih 60 peperangan. 28 daripadanya disebut ghazwah iaitu perang yang disertai oleh baginda saw sendiri. Daripada jumlah tersebut 4 daripadanya tercetus perang sebenar iaitu Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khaybar dan Perang Hunayn. Manakala terdapat 35 perang yang disebut sariyyah iaitu perang yang tidak disertai oleh baginda saw.

Kesemua 28 ghazwah yang disertai oleh baginda saw tidak melewati semenanjung Tanah Arab dan semua kawasan tersebut telah menerima Islam pada zaman Rasulullah saw.

Apakah yang kita benar-benar ketahui tentang Perang Badar?

* Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah

* Bersamaan 13 Mac tahun 624 Masehi

*Perang ini tercetus selama antara 4-5 jam

*Disertai hanya 13oo tentera melibatkan tentera Islam dan musuh (Musyrikin Mekah)

*Perang Badar membuktikan kemenangan tentera Islam ke atas Kafir Quraisy

Perang-perang yang tercetus selepas itu membuktikan bahawa tentera Islam telah berjaya mengalahkan semua musuh Islam sepanjang zaman.

-Perang Yarmuk (kemenangan tentera Islam ke atas Rom Timur/Byzantine)
-Perang al-Qadisiyyah (kemenangan tentera Islam ke atas Parsi Banu Sasan)
-Perang Hittin (kemenangan tentera Islam pinpinan Salahuddin al-Ayyubi ke atas Tentera Salib)
-Perang Ain Jalut (kemenangan tentera Islam pimpinan Sultan Muzaffar Quttuz ke atas tentera Mongol)
Perang Zat al-Sawari (kemenangan armada laut Islam mengalahkan armada laut Byzantine di perairan Laut Mediterranean)

Sebar-sebarkan kepada orang2 sekeliling anda...

Kamis, 11 September 2008

Piala Rahmat dan Keampunan...

Dengan kita sedar atau tanpa kita sedar, hakikatnya kita telah berada di peringkat sepuluh kedua Ramadhan iaitu bermula malam 11 hinggalah malam 20 Ramadhan. Tidak terlewat utk kita terus bermuhabah diri...

Fulan bin Fulan, Fulanah binti Fulan! Dengan ini diumumkan anda telah memenangi hadiah 'Piala Rahmat Allah'

Betul ke, layak tak....!!!!!!!

Hadiah yang ditawarkan dalam sepuluh pertama yang lalu ialah Piala Rahmah. Ayuh! lihat diri kita. Layakkah kita dapat hadiah tersebut? Ya, mengapa dan jika tidak, mengapa?

Dari malam pertama hingga 10 malam Ramdhan yang pertama, adakah kita benar2 menjalani ibadat puasa dengan sepenuh iman kita? Dapat membaca dan bertadabbur 1o juzuk pertama al-Quran, cukup menjalani sebaik mungkin solat2 Terawih dan witir2nya saban malam, telah menghulur sedekah kpd ssp yang memerlukan dgn rezeki kita? Telah bangun malam untuk sujudkan dahi kita bertahajjud pada Yang Maha Esa dan macam2 lagi amal kebaikan.

Kalaulah kita pun yakin gagal memiliki piala yang ditawarkan, ayuh! bangkitlah. Piala yang sedang ditawarkan kali ini ialah piala yang lebih besar iaitu 'Piala Keampunan' Mari kita rebut, kita jangan malas2 menadah tangan pada-Nya saban waktu, malam dan saat untuk memohon keampuanan untuk diri kita, ibu bapa kita, anak isteri kita...

Ya Allah! ampukan dosa hambuMu yang kerdil dah lemah ini...
Ampunkan doasa ibuku yang telah bersusah payah mengandung, melahirkan, menyusukan dan begitu sabar membesarkan daku
Ampunkan dosa ayahku yang telah bersusah payah dan cekal mencari sesuap nasi yang halal untukku serta mendidikku
Ampunkan dosa ibu dan ayahku yang begitu cekal melayan karenah2ku dalam membesarkan daku
Ampunkan dosa anak-anak dan isteriku
Pandanglah kami dengan pandangan rahmat dan keampuanMu

Ayuh...ringankan tangan kita, basah2kan lidah kita, lunak2kan hati kita utk memohon keampunan Tuhan. Jangan menyesal di hari kemudian.

Rabu, 03 September 2008

Soalan Spontan Ramadhan...

Sambil kita berbuka puasa, sambil duduk santai2 dgn keluarga, atau mungkin di tempat kerja semasa duduk dengan kawan, semasa baring2 di surau waktu rehat di kilang kita dan di mana2 shj...cuba kita uji maklumat Ramadhan kita dan sesiapa yg dekat dgn kita...

Soalan
1. Bila tahun diwajibkan puasa Ramadhan?

2. Berapa kali Rasulullah sempat berpuasa Ramadhan?

3. Ibadat lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Berapa tahunkah 1000 bulan itu?

4. Perang apakah yang berlaku dalam bulan Ramadhan?

5. Ramadhan digelar Sayyid al-Syuhur. Apa maksud Sayyid al-Syuhur?

6. Dalam susunan 12 bulan Islam, Ramadhan terletak dalam susunan yg keberapa?

7. Apa antara keistimewaan Ramadhan berbanding 11 bulan yg lain selain ada puasa?

8. Sebutkan 2 perkara yg boleh membatalkan pahala puasa?

9. Apa maksud Nuzul al-Qur'an?

10. Apa maksud solat Terawih dan Solat Witir

Boleh jawab semua. Terror anda. Tahniah...Anda memang arif dengan Ramadhan.

JAWAPAN

1. Tahun 2 Hijrah

2. 9X

3. 83 tahun 3 bulan

4.Perang Badar al-Kubra

5. Penghulu segala bulan

6.Yang ke-9

7. Ramadhan satu2nya bulan yang disebut namanya dalam al-Qur'an

8. Mengumpat dan melihat maksiat

9. Turun al-Qur'an

10. Solat Terawih ialah solat rehat2 dan solat witir ialah solat ganjil (bilangannya)

Banyak lagi soalan kalau kita nak tanya...ini sekadar soalan spontan sahaja.

Sabtu, 30 Agustus 2008

Muhasabah diri di ambang Ramadhan...

Petang hari ini saya berkesempatan bersiar2 di kampung saya. Saya terkejut melihat sekumpulan khemah2 yg dipasang di satu kawasan tanah lapang. Rupanya2 mereka semua berpakat untuk menunggu detik 12 malam, di ambang Merdeka. Bersemangat, berpakat, patriotik...
Namun, kita juga sebenarnya di ambang bulan mulia, di ambang Ramadhan. Bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan pelepasan drpd api neraka. Bulan yang satu2 namanya disebut oleh Allah di dalam al-Qur'an. Tidak disebut Rejab, Muharram, Syaaban, Safar atau yg lainnya melainkan hanya Ramadhan. Hebatnya Ramadhan...
Kita melihat generasi kini menjerit riang disaat disebut nama Mawi, Shah Rukhan dan lain2 penyanyi. Fuhhhhh....Yehhhhh....sebaik disebut kepada mereka nama2 pelakon pujaan mereka. Namun riang dan gembirakah mereka dan kita jika disebutkan kepada mereka nama Allah atau Muhammad bin Abdullah?????
Mengapa? Kerana kita kurang mengenali Pencipta kita dan RasulNya. Kita jauh dengan mereka.
Kita sanggup melakukan itu dan ini untuk menyambut bulan kemerdekaan. Tahniah kerana kita memang patriotik dan cinta negara.
Namun kita sanggupkah untuk melakukan itu dan ini untuk menyambut Ramadhan? Sanggup bangun dan berjaga malam waktu dini malam jam 12.00 hingga 2.00 pagi untuk tundukkan dahi kita pada Tuhan? Untuk kita titiskan airmata ini dengan penuh keinsafan? Kita hanya menumpang buat sementara waktu di atas bumi Tuhan. Hanya 'bumi' ini sahajalah yg Tuhan izinkan kita untuk mendiaminya, bukan di tempat lain di galaksi bima sakti yg luas ini.
Kerana itulah panggilan puasa Ramadhan adalah panggilan iman. Wahai orang2 yang beriman...
Kamu benar merindui Ramadhan, mencintai ketibaannya, seronok di sampingnya? Hanya iman kita yang mampu menjawab...jawablah wahai imanku...
Kalaulah Ramadhan tidak dapat menggerakkan, memudahkan kita untuk mendekatkan diri pada Tuhan, jangan haraplah di bulan lain. Kerana pada bulan ini kita dipermudahkan untuk mendapat takwa...

Selasa, 26 Agustus 2008

Kenapa perlu 15 Tahun?

Betulkah kita benar2 sudah bersedia untuk masuk ke bulan Ramadhan. Dah cukup ke maklumat kita, dah buat ke persediaan yang terbaik? Jangan sibuk sakan pulun menyambut bulan kemerdekaan ttp kita lupa pasal bulan Ramadhan.
Saya masih nak ajak sahabat2 semua terus bermuhasabah lagi dan lagi. Berapa kali sebenarnya Rasulullah sempat berpuasa Ramadhan? Tahun berapa diwajibkan kita berpuasa?
Jarang betul orang tanya pada kita soalan ini kan. Puasa Ramadhan diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke2 Hijrah.
Ini bermakna selepas 15 tahun dakwah baginda SAW. Iaitu selepas 13 tahun dakwah di Mekah dan 2 tahun di Madinah. Mengapa perlu 15 tahun?...
Jadi berapa kali Rasulullah saw sempat berpuasa Ramadhan. Ya, 9 kali sahaja. Kita? Dah 20? 30? 15? atau 45? kali.
Ramadhan terletak pada susunan yang ke-9 dlm susunan bulan2 Islam dan baginda sempat puasa 9X.
Mengapa perlu 15 tahun sblm adanya kewajipan puasa? Ya, sebab mendidik nafsu adalah kerja paling sukar. Puasa melatih kita menunduk nafsu. Tidak hairanlah ramai yang berpuasa walaupun syaitan tiada, namun nafsunya masih bermaharajaela. Masih nak puas2 bukan nak puasa. Nak puas2 shopping, puas2 tidur, puas2 makan, puas2 sembang kosong!!!!! Bukan sekadar nak ke Bazar tetapi nak ke bazir!!!
Apa dah jadi ni.....

Kamis, 21 Agustus 2008

Uji maklumat Ramadhan kita...

Hari ini dah masuk 20 Syaaban. Lagi 10 hari saje kita nak menjadi tetamu Ramadhan...Jom muhasabah sedikit.

1. Kita dah tolong meuar2kan bulan mulia ini atau belum. Jgn hanya kita leka pasal sukan olimpik dan bulan kemerdekaan semata2.

2. Hendak minta maaf pada ibu ayah sebelum Ramadhan atau selepas Ramadhan (I Syawal)

3. Berapa kalikah sebenarnya Rasulullah saw berpuasa Ramadhan

4. Apa beza batal puasa Ramadhan dan batal pahala puasa Ramadhan

5. Kita nak puasa atau nak puas2 (puas makan, puas shopping etc)

6. Layakkah aku menjadi tetamu Ramadhan al-mubarak

7. Adakah puasa aku tahun ini akan lebih baik daripada puasa tahun lalu atau sama saje saban tahun

8. Adakah Ramadhan tahun lalu aku berjaya mengkhatamkan al-qur'an, mendapat lailatulqadar, cukup terawih setiap malam 20 rakaat etc

Ini hanya sebahagian soalan, jawab dulu...banyak lg yg perlu dimuhasabah.
Old Post ►
 

Copyright 2012 Liputan Sejarah Indonesia: Ramadhan Template by Bamz | Publish on Bamz Templates