Tampilkan postingan dengan label Motivasi Diri. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Motivasi Diri. Tampilkan semua postingan

Minggu, 22 November 2009

Mengajar dan Mendorong

Berdentam dentum si guru itu menerangkan perihal korban. Dari bab hukum, dalil, hikmah, fadhilat semua dikupasnya. Tidak cukup dengan itu, pengagihan daging korban pun dihurainya.

Memang kita telah diajar akan banyak hukum Tuhan. Kewajipan solat, bayar zakat, tunai haji, tutup auarat dan yang akan tiba ini perihal tuntutan korban.

Dalam kuliah-kuliah yang saya cuba sampaikan, saya terasa ingin lakukan sedikit perubahan. Dalam hati kecil saya beritahu, mereka semua sudah tahu bahawa korban ini amat dituntut dan tersangat bagus. Saban tahun ada sahaja para ustaz yang huraikan. Namun, tidak ramai juga yang sanggup berkorban.

Oleh sebab itu, saya tidak mahu menekankan hukum hakam korban tetapi saya ingin terus mendorong dan memotovasikan orang Islam untuk berkorban.

Apa alasan-alasan yang menghalang kita daripada cuba berbuat korban? Hancurkan halangan tersebut. Halangan nafsu, halangan masa, duit dan apa lagi alasan yang lapuk, yang telah kita gunapakai setiap kali tiba hari raya korban. Nyahkan semuanya.

Ayuh kita dorong diri kita, ahli keluarga kita, rakan-rakan kita semua. Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh untuk kita tunaikan korban ini.

Para penceramah dan ustaz, doronglah mereka untuk berkorban bukan sekadar menyampaikan mesej sahaja.

Bimbang mereka tahu dan arif akan korban tetapi tidak terdorong untuk melaksanakannya.

Apalah indahnya jika kita tahu benda baik, tetapi kita tidak dapat melaksanakannnya.

Rabu, 18 November 2009

Menambah 'stress' orang lain?

Salam persaudaraan dari saya.

Bangsa kita sudah maju. Telah lama kita memeluk Islam. Rasanya terlalu nikmat kita dilahirkan dalam bangsa ini.

Namun kita jarang sekali bermuhasabah atas semua ini. Jika tajuk yang cuba dibahaskan ini ada kebenaran, ayuh kita bermuhasabah.

Namun saya lebih suka tidak mengaitkan fenomena ini pada bangsa kita semata-mata tapi pada semua orang secara umum.

Rasulullah s.a.w amat suka memudahkan orang lain, menyenangkan hati dan perasaan orang lain, suka membantu orang lain. Rekod hadis yang saya terbaca menyatakan pembantu-pembantu Rasulullah tidak pernah memendam rasa di atas perbuatan atau ucapan Rasulullah saw.

Sedangkan baginda berjawatan tinggi, orang nombor satu Madinah. Seorang nabi yang maksum bahkan penghulu sekalian rasul.

Adapun kita, hanyalah manusia biasa yang sekadar mungkin menjawat jawatan dari secebis jawatan dunia. Jawatan kita itu pula adalah jawatan yang ada tempoh, ada tempoh bersara. Ertinya selepas bersara, kita tiada lagi memegang jawatan itu.

Namun, di saat kita memegang jawatan itu, mengapa kita menjadikannya platform menambah stress orang lain khasnya orang-orang yang di bawah seliaan kita.

Marilah kita menjadi pembimbing, pendorong orang lain kerana inilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah ketika baginda menjadi pemimpin. Membina hubungan yang baik dengan semua orang.

Fikirlah... Jawatan hanya pakaian sementara, yang akan ditanggalkan dari tubuh kita apabila tiba masanya.

Sabtu, 05 September 2009

Pandai Berpidato atau Pandai Beramal?

Bulan Ramadhan menjadi medan yang subur untuk saya membaca. Tentunya yang utama adalah membaca al-Qur'an, namun saya sempat juga menjamah beberapa buku lainnya.

Dalam rihlat bacaan saya kali ini, telah menyentap jantung saya apabila saya terbaca satu kata-kata daripada seorang pendakwah Ariffin Ilham yang berbunyi

"Bagaimana rakyat negara ini mahu maju sekiranya para tokoh dan alim ulamak hanya pandai berpdato tetapi tidak pandai beramal?"

Ya... satu teguran hebat untuk direnungi bersama.

Ramadhan adalah bulan yang bisa menjadi magnet untuk kita beramal. Mari kita terus beramal dan beramal. Kalaulah Ramadhan tidak mampu menarik kita beramal, bulan yang mana lagikah untuk kita harapkan...

Jumat, 20 Februari 2009

Islam Agama Dakwah Bukan Ibadat...

Salam semua...
Solat di Masjidil Haram di Mekah mendapat pahala berlipat ganda berbanding di tempat-tempat lain. Tidak hairanlah kita tidak digalak bersusah payah bermusafir ke satu-satu masjid kecuali Masjid al-Haram,Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa.
Kedua, dari segi kehebatan martabat ialah Masjid Nabawi di Madinah.

Ini bermakna jika kita dapat beribadat, solat, iktikaf, baca al-Quran di dalam 2 masjid ini tentunya lebih dapat banyak pahala. Kalau boleh, tak perlulah pergi masjid lain.

Betul tak? Kenapa para sahabat susah-susah nak keluar berdakwah, menyebarkan Islam ke tempat lain sedangkan kalau mereka duduk dalam masjid Nabawi lagi boleh buat banyak pahala. Satu persoalan besar ni.

Kenapa Abu Ayyub al-Ansari pergi jauh ke Constantinople nak sebar Islam? Kenapa Ummu Haram jumpa nabi saw minta tolong agar didoakan dia menjadi antara orang pertama yang akan berdakwah ke Pulau Cyprus? Kenapa Amru bin al-As beriya-iya nak buka Mesir? Kenapa Muawiyah bin Abu Sufyan pujuk Khalifah Umar al-Khattab, kemudian Khalifah Uthman bin Affan untuk membuka Pulau Cyprus, Pulau Rhodes dan Pulau Arwad?
Duduk ajelah kat Masjid Nabawi, baca al-Quran, zikir. Pahala pun banyak.

Ya...inilah Islam. Islam bukan hanya untuk diri sendiri. Mengaji, zikir, cari pahala sendiri tapi tak mahu fikir untuk berdakwah pada orang lain. Islam adalah agama dakwah.
Teruskan kita membaca Qunut Nazilah untuk saudara-saudara kita di Palestine.

Rabu, 19 November 2008

Mencari Kebenaran

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari
Demi bualan apabila ia mengiringi (matahari)
Demi siang apabila ia menampakkan
Demi malam apabila ia menutupinya
Demi langit dan yang membinanya
Demi bumi dan segala hamparannya
Demi jiwa dan penyempurnaannya

Allah mengilhamkan sukma kebaikan dan kejahatan
Beruntunglah sesiapa yang menyucikannya
Dan rugilah sesiapa yang mengotorinya

Matahari, bulan, siang, malam adalah makhluk besar yang sentiasa untuk dan patuh menurut arahan yang telah ditetapkan Tuhan. Mereka beredar pada paksinya dan sama sekali tidak terkeluar dari orbitnya. Jika matahari terkeluar dari garis orbitnya maka binasalah alam.

Begitulah juga jiwa manusia, jika ia keluar dari garis orbitnya iaitu garisan kejujuran, keadilan, prihatian, tanggungjawab, kerjasama maka akan binasalah hidup manusia.

Tidak hairanlah Rasulullah menuju ke Gua Hira' untuk mengasingkan diri daripada masyarakat jahiliyyah ketika itu. Berkhalwat untuk menyucikan jiwa. Untuk mengenal Sang Pencipta yang menjadikan seluruh alam semesta ini.

Selasa, 18 November 2008

Beruntunglah orang yang menyucikan jiwa...

Hidup ini adalah sebuah pencarian. Kita perlu bergerak untuk mendapat sesuatu kerana semuanya bergerak. Bumi bergerak, awan bergerak, matahari bergerak, malang siang bergerak untuk saling silih berganti dan semuanya harus bergerak....
Saya baru kembali mengikuti program ESQ Training selama 3 hari pada 14,15 dan 16 hb yang lalu. Saya bergerak untuk mencari sesuatu yang boleh membantu saya mencari sesuatu yang dapat membahagiakan jiwa saya. Hidup perlu bergerak dan terus mencari. Pecahkan segala belenggu yang cuba menghalang kita untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Akhirnya saya ditakdirkan untuk mengikuti progran 3 hari ESQ ini. Hasilnya sungguh luar biasa...
Mengapa kita bersolat dengan membaca al-Hamdulillah hi Rabbil Alamin. Kita membaca amin bersama serentak dengan makmum2 yang lain. Kita menghulur salam ke kanan dan ke kiri di hujung solat kita. Dengan 17x rakaat yang kita kerjakan namun kita masih lesu. Masih ada prasangka buruk pada orang lain, masih saling bermusuhan sesama manusia, masih tidak mahu jujur dalam gerak geri.
Apakah solat yang kita kerjakan tidak memberi kesan pada diri kita, pada umat Islam. Kita solat tetapi pada yang sama kita tidak jujur, kita sering berprasangkat jahat pada saudara kita. Di mana kita dan solat kita sebenarnya. Mengapa solat kita kosong. Bahkan jangan hairan jika ada orang yang menipu untuk solat. Tidak solat tetapi mengaku sudah solat.
Adakah kerana kita jahil dengan rahsia solat itu. Solat yang satu-satu kefarduan yang difardukan di atas langit semasa peristiwa Istrak dan Mikraj.
Bukan bilangan solat yang kita kerjakan itu melatih untuk kita jujur. Kita tidak menipu dalam bilangan rakaat kita. Jemaah itu sendiri mengAjar kita bekerjasama. Saf itu mendidik kita kepada keadilan. Mengapa perlu sombong dengan pangkat, jawatan, kerdudukan, kekayaan yang merupakan pinjaman Allah.
Solat tidak boleh diwakilkan pada orang lain, mengajar kita nilai tanggungjawab. Menoleh dengan memberi salam ke kiri dan kanan mendidik kita sikap prihatian. Prihatian pada jiran tetangga kita, adik beradik kita, ibu bapa kita dan seluruh saudara mara kita yang lain.
Bukan untuk kita sendiri-sendiri. Ayuhlah keluarkan diri kita dari belenggu yang sempit.
Salam ukhuwwah buat Pak Aminul, Pak Saiful, Firdaus dan Faizi yang merupakan Trainer ESQ. Juga rakan rakan Saudara Safuan, Mahathir dari UTEM, Sahrul, Raja Azmi, Aznur, Dato' Samsuddin, Aizad pengerusi Kalam, Saudara Badiuz ATS ESQ dan ramai lagi.

Kamis, 30 Oktober 2008

Banjir sebagai satu ujian

Bermula dari 22 Nov 2008 yang lalu, kampung saya telah ditimba banjir besar yang tidak pernah terjadi sejak 40 tahun yang lalu. Beratus sahabat, jiran tetangga saya terpaksa dipindahkan ke surau dan sekolah berhampiran. Dalam masa seminggu kami sekampung bagai sekeluarga besatu hati cuba menghadapi ujian ini dengan semangat ukhuwwah.
Selesai sahaja dengan kesibukan banjir ini, saya diberi peluang oleh Unit Dakwah Jabatan Pelajaran Selangor untuk berkongsi sedikit rezeki ilmu dalam menyampaikan tajuk "Menggarap Idea Penulisan" bersama 62 guru-guru agama di Selangor yang berkampung 3 hari 2 malam di Hotel Beach Resort, Pordicson dari 28hb hinggalah 30hb yang lalu. Kesannya, maka blog saya ini tersadai beberapa hari yang panjang tanpa perkongsian baru. Maaf ya...
Kali ini saya ingin paparkan kepada rakan2 yang menziarahi blog ini dengan sedikit tazkirah yang sempat saya sampaikan melalui platform masjid saya sepanjang ujian banjir besar yang berlaku...mudah-mudahan kita dapat berkongsi sesuatu,

Surah al-Baqarah: 155-156

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar: (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

Saudara-saudaraku sekalian,

Hidup di dunia adalah penuh dengan ujian. Kaya atau miskin, senang atau susah, kenyang atau lapar, sihat atau sakit, suka atau gembira adalah termasuk ujian-ujian Allah. Ujian-ujian ini, yang diberikan oleh Allah perlu kita hadapi dan terima sama ada dengan bersyukur (berterima kasih) atau dengan sabar. Kita bersyukur di saat diberi kaya, senang, sihat dan kegembiraan. Sebaliknya kita hendaklah bersabar jika diuji miskin, sakit, lapar dan kesusahan-kesusahan yang lain. Hidup ini adalah gabungan antara ada masa kita bergembira lalu bersyukur atau ada ketika kita bersedih lalu bersabar.

Bermula dengan sambutan Aidilfitri pada 1 Syawal yang lalu, kita semua dianugerahkan dan diuji dengan pelbagai nikmat kegembiraan dan keseronokan daripada Allah swt. Al-hamdulillah, dalam keghairahan suasana hari Raya, kunjung mengunjung, meraikan rumah terbuka untuk merapatkan silaturrahim dan sebagainya, ramai antara kita yang tidak lupa untuk mensyukuri nikmat Allah dengan melakukan ibadat sepeti puasa enam Syawal, bersedakah terus mengunjungi rumah-rumahNya untuk menunaikan solat-solat Fardu walaupun suasana datang beramai-ramai bersama anak isteri dengan berpimpin tangan, bersama ibu bapa di malam-malam Ramadhan untuk berterawih sudah tiada kelihatan.

Saudara-saudaraku sekalian,

Sedang kita masih lagi di dalam kegembiraan bulan Syawal, tiba-tiba Allah menguji qaryah kita dengan banjir mengejut yang kita tidak sangka-sangka. Ujian ini menyebabkan sebahagian besar daripada saudara-saudara kita terpaksa berpindah, meninggalkan rumah, kehilangan barang-barang berharga, kerugian banyak harta benda dan berdepan pelbagai kesukaran yang lain. Kita akui, semuanya ini menuntut selaut kesabaran, yang bukannya sedikit.

Bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita melalui sesuatu ujian yang bertentangan dengan nafsu keinginan kita. Namun, bagi kita orang Islam perlu melihat setiap ketentuan Tuhan itu, bukan sahaja dari sudut luaran atau fizikal tetapi dalamannya juga.

Surah al-Baqarah:216

Ertinya:

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.


Malangnya ada sebahagian kita yang hanya melihat sesuatu musibah itu dengan yang tersurat semata-mata seperti parit tersumbat, longkang yang gagal diselenggara. Pertumbuhan kilang-kilang yang tidak terancang atau apa sebab luaran yang lain.

Ayuh! Kita sama-sama juga, tanpa menafikan sebab banjir daripada yang fizikal tadi, memikirkan kepada sebab-sebab dalaman atau yang tersirat. Kita perlu fikir, muhasabah diri, mengetuk hati dan iman kita akan punca musibah yang menimpa kita bersama ini. Adakah musibah ini sebagai hukuman dan seksaan dari Allah kerana kedegilan dan keingkaran kita semua sehingga mengundang bala’ yang cukup berat ini? Atau adakah musibah ini sebagai satu teguran, peringatan, sapaan daripada Allah kerana kita leka, lalai di atas tanggungjawab kita padaNya?

Kita mendakwa kita mempunyai kenderaan baru yang laju tetapi ia gagal membawa kita menuju masjid atau suraunya. Kita mendakwa kita memiliki wang yang cukup tetapi kita berlengah-lengah untuk melaksanakan perintahNya seperi menunaikan haji. Kita mendakwa kita sihat dan muda tetapi kita sentiasa memberi alasan agar kita tidak melakukan ibadat seperti berpuasa enam di bulan Syawal. Kita sering berkira-kira dengan Allah di atas segala nikmat-nikmat pinjamanNya baik wangringgt, kesihatan, kenderaan dan sebagainya.

Atau mungkinkah kita masih mentaati dan patuh padaNya tetapi musibah ini diturunkan semata-mata untuk menguji kita semua agar saling bersabar, bekerjasama, bantu membantu untuk memberi kita pahala yang berlipat ganda seterusnya meninggikan darjat kita di sisiNya. Sekiranya berlian tidak akan mungkin tercipta tanpa tekanan dan suhu yang tinggi, maka kampung kita tidak akan indah seperti perkampung berlian yang pekduduknya disuburi dengan sifat-sifat Islam yang mulia jika tidak melalui ujian dari Allah.

Saudara-saudaraku sekalian,

Musibah-musibah yang sukar ini mengingatkan kita kepada saudara mara kita seagama, di seluruh dunia yang turut menerima ujian yang pelbagai daripada Allah. Saudara-saudara kita di Palestine yang terpaksa diusir daripada kampung halaman mereka sendiri sehingga menjadi pelarian sejak 60 tahun yang lau dalam tragedi Palestine pertama 1948, tinggal di khemah-khemah pelarian dalam suasana musim panas dan salji. Saudara-saudara kita di Iraq yang kehilangan saudara mara tersayang, kehilangan rumah kediaman, harta benda dan anggota akibat bedilan peluru yang tidak diundang. Banjir yang menimpa kita ini mudah-mudahan dapat mendidik dan melembutkan hati kita agar merasa simpati di atas musibah yang menimpa saudara mara kita seakidah, sekiblat yang mungkin jauh di mata kita tetapi wajib dekat di lubuk hati kita. Jadilah kita orang yang mudah menghulur bantuan tanpa perlu memikir panjang, memikir siapa kerana barangkali orang yang ditimpa musibah itu amat-amat memerlukan bantuan segera.

Saudara-saudaraku sekalian,

Ayuh kita muhasabah diri, kita insafkan diri kita, kita perkukuhkan ikrar yang selalu kita ulang-ulang iaitu Allahukbar yang bermaksud Allah maha Besar. Hari ini Dia telah menunjukkan kepada kita satu kekuasaanNya sahaja iaitu banjir dan kita yang kerdil ini sama sekali tidak mampu menghalangNya. Bahkan sebenarnya perkara yang lebih kecil daripada itupun kita tidak mampu melawannya. Siapakah yang mampu menghalng uban daripada tumbuh di rambutnya, gigi daripada tanggalnya, sakit yang datang menimpanya atau kematian yang menjemputnya dan sebagainya?

Kita adalah sangat kerdil, lemah, hina di hadapan Allah. Marilah kita memohon agar lidah-lidah kita sentiasa basah menyebut namaNya, anggota kita lembut untuk melaksanakan suruhannya, tangan dan kaki kita mudah melakukan kebaikan dan hati kita cenderung dengan kemulian dan benci dengan kejahatan.

Surah Muhammad : 38.

(ingatlah), kamu ini adalah orang-orang Yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu Yang berlaku bakhil, padahal sesiapa Yang berlaku bakhil maka Sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadanya Dalam Segala hal). dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

Saudara-saudaraku sekalian,

Marilah kita berusaha menjadikan musibah banjir yang melanda ini untuk kita memperkukuhkan hubungan kita dengan Allah. Sekiranya kita jauh marilah kita berusaha mendekatkan diri kita kepadaNya dengan memperbanyakkan amal, kita bertaubat menebus dosa-dosa kita yang lalu. Janganlah musibah menambahkan lagi dosa-dosa kita dan murka Allah kerana kejahilan dan kelekaan kita. Dalam suasana musibah ini, kita masih perlu menjalankan tanggungjawab kita dengan memelihara aurat kita, batas-batas pergaulan, tutur kata dan solat-solat kita. Ingatlah pernah berbicara dalam firmanNya surah al-Baqarah:153:

Ertinya:

Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar.

Kita bukan sahaja dituntut memohon bantuan Allah dengan bersabar tetapi dengan solat.

Sekiranya Thunami yang berlaku di Acheh telah menjadi sebab penyatuan kepada permusuhan yang berlaku puluhan tahun, maka tanpa perlu menunggu lebih lama, jadikan juga, peristiwa banjir ini untuk kita memupuk kembali persaudaraan Islam di kalangan kita umat Islam, menyatukan hati-hati kita yang terhijab dengan sikap dendam, irihati, syak wasangka, suka mengandu domba, suka berpecah belah dan segala sifat mazmumah yang lainnya. Kita jangan lupa bahawa penyakit-penyakit kronik hati ini bukan sahaja membahayakan hidup kita di dunia bahkan ia menjadi punca kepada terjerumusnya seseorang itu ke dalam api neraka.

اللهم أجرني في مصيبتي هذه وآخلف لي خيرا منها

Ya Allah, berikanlah pahala di atas musibah yang menipa kami ini dan gantikanlah bagi sesuatu yang lebih baik daripadanya.

Minggu, 10 Agustus 2008

Berkorban sehingga terkorban...

Alangkah hebatnya para sahabat awal yang telah berkorban harta, nyawa, diri dan segala-galanya hanya untuk Islam semata-mata. Namun kita pada hari asyik leka berselisih bab fekah, bab furu' dan lain-lainnya. Masih berbahas perlu atau tidak membaca doa qunut atau tidak.
Bayangkanlah, Abu Bakr al-Siddiq sebaik sahaja masuk Islam terus mengajar ramai orang lain masuk Islam. Kadang2 kita pula, semakin menjauhkan orang yang hendak mendekati Islam daripada Islam.
Cukup banyak bukti yang menunjukkan ramai para sahabat yang berkorban untuk menyebarkan agama Islam, tetapi akhirnya terkorban syahid seperti;
1. Umar al-Khattab
2. Uthman b. Affan
3. Ali b. Abu Talib

Mereka ini terkorban ketika sedang membaca al-Quran (Saidina Uthman b. Affan) dan ketika balik daripada menunaikan solat subuh. Kita risau kita meninggal dunia ketika kita sibuk sedang berdebat dan berbalah masalah membaca Basmalah semasa solat atau sebagainya.
Sekadar ingin mengajak untuk memuhasah diri...

Senin, 04 Agustus 2008

Para pendakwah yang bekerja...

Apa yang dah kita sumbang untuk Islam. Kita asyik berbalah, sama ada bab politik, mazhab fikh dan macam-macam lagi. Silakanlah jika memang niat kita baik dan kita yakin akan dapat kebaikan tetapi kalau ia cuma menambah perpecahan apalah gunanya.

Marilah kita lihat mereka yang telah menyebarkan agama Islam dan mengajak orang yang jauh dengan Islam untuk dekat dengan Islam, bukan semakin menjauhkan orang yang sudah dekat dengan Islam daripada Islam.

Tokoh dan Sumbangan mereka


1. Ali b. Abu Talib

(mengislamkan Banu Hamazan dan kabilahh2 lain)

2. Mus’ab b. Umayr

(mengislamkan penduduk Madinah sebelum Hijrah)

3. Abdul Rahman b. Auf

(mengismlam penduduk Daumatul Jandal)

4. Muaz b. Jabal

(mengislamkan penduduk Yaman dan mengajar mereka, menyeru ahli kitab di Yaman kepada Islam)

5. al-Ala’ b. al-Hadrami

(mengislamkan Bahrin dan rajanya, al-Munzir b. Sawa dan mengislamkan Huwaitib b. Abdul Uzza)

6. Khalid b. al-Walid

(mengislamkan Banu al-Harith b. Ka’b di Najran)

7. Abu Musa al-Asyari

(menetap untuk tempoh yang lama berdakwah di Zubayd, Yaman. Kemudian berpindah ke Kufah dan rumahnya menjadi pusat dakwah di sana)

8. Urwah b. Mas’ud al-Thaqafi

(penyebab kepada Islam Banu Thaqif selepas mereka membunuhnya)

9. Amru b. Umayyah al-Dhamiri

(penyebab Islamnya al-Najasyi)

10. al-Tufail b. Amru al-Dausi

(mengislamkan kabilah Daus dan antaranya Abu Hurairah)

11. Abu Umamah al-Bahili

(berjaya mengislamkan Banu Bahilah)

12. Dihyah b. Khalifah al-Kalbi

(dihantar oleh Rasulullah saw untuk menemui Kaiser Rom kemudian beliau pergi ke Damsyik dan menetap di sana untuk berdakwah selama 40 tahun)

Itu jasa mereka, kita…saya dan anda bagaimana? Jika kita asyik berbalah maka kita tak sempat untuk bekerja. Kita disuruh memberi sumbangan bukan membuat sumbang…Sekadar buat renungan semua

Old Post ►
 

Copyright 2012 Liputan Sejarah Indonesia: Motivasi Diri Template by Bamz | Publish on Bamz Templates