Tampilkan postingan dengan label Kerajaan Banu Umayyah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Kerajaan Banu Umayyah. Tampilkan semua postingan

Minggu, 08 Februari 2009

Konflik politik zaman Kerajaan Umayyyah

Sepanjang 91 tahun memerintah kerajaan yang luas dari tahun 40-132H dan menjadi penguasa tunggal memerintah Andalus, Afrika, Mesir, Semenanjung Arab, pulau-pulau Mediterranean, Armenia, Syam, Iraq, Iran, al-Sind, Ma Wara' al-Nahar tentulah menghadapi zaman turun naik.

Perlantikan Yazid b. Mucawiyah sebagai Wali al-cAhd (putera mahkota)

Pada zaman Mucawiyah b. Abu Sufyan, beliau sendiri menghadapi suasana yang tidak stabil apabila menghadapi dua kumpulan yang menentangnya iaitu Khawarij dan kumpulan al-cAliwiyyin. Kedua-dua kumpulan ini banyak bertebaran di Kufah dan Basra dan menjadikan Iraq sebagai medan perjuangan mereka. Sehingga dikatakan keadaan di Iraq sepanjang zaman pemerintahan Mucawiyah b. Abu Sufyan tidak dapat stabil sepenuhnya sekalipun dipimpin oleh gabenor yang hebat dan ia merupakan kawasan yang paling rumit.

Perlantikan Yazid b. Mucawiyah menjadi Wali al-cAhd yang akan menggantikan Mucawiyah b. Abu Sufyan sebagai khalifah merupakan isu paling besar yang menyebabkan ramai menolak Mucawiyah b. Abu Sufyan dan mengkritik beliau kerana telah melakukan cara perlantikan khalifah yang tidak pernah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin sebelumnya. Mucawiyah b. Abu Sufyan telah melantik Yazid b. Mucawiyah dan umat Islam telah bersetuju untuk membaiahnya kecuali beberapa orang tokoh seperti Husin b. cAli, cAbd Allah b. cUmar dan cAbd Allah b. al-Zubayr. Idea perlantikan Yazid dikemukakan oleh gabenor Mucawiyah b. Abu Sufyan di Kufah iaitu Al-Mughirah b. Syucbah. Cadangan Mucawiyah b. Abu Sufyan untuk memilih bakal penggantinya itu dengan tujuan mengelakkan perpecahan masyarakat Islam dan demi menjaga kesepaduan mereka.

Rabu, 04 Februari 2009

Permulaan Kerajaan Umayyah

Selepas kematian cAli b. Abu Talib, umat Islam telah melantik puteranya iaitu al-Hasan b. cAli sebagai khalifah yang baru, tetapi kerana menjaga kesatuan umat Islam ketika itu, al-Hasan telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada jawatan tersebut. Dengan perletakan jawatan tersebut oleh al-Hasan b. cAli dan dilantik Mucawiyah b. Abu Sufyan sebagai khalifah pada tahun 41H/656M yang disebut sebagai cAm al-Jamacah maka bermulalah zaman Kerajaan Umayyah yang kemudian telah memilih Damsyik, Syam sebagai pusat pemerintahan kerajaan mereka. cAm al-Jamacah (Tahun Perdamaian) berlaku pada tahun 41H/656M apabila al-Hasan b. cAli dan Mucawiyah b. Abu Sufyan berkumpul lalu al-Hasan bersetuju untuk menyerahkan jawatan khalifah kepada Mucawiyah selepas beliau menjawat jawatan tersebut selama 7 bulan dan 7 hari. (Lihat Al-cAsfari, 1414H/1993M, Tarikh Khalifah b. Khayyat, hlm. 152; Ibn al-‘Athir, jil. 3, hlm. 271) Mucawiyah b. Abu Sufyan telah dibaiah oleh umat Islam di Kufah dan kemudian beliau telah kembali semula ke Syam. Beliau telah melantik Al-Mughirah b. Syucbah (w.50H/670M) sebagai gabenornya di Kufah. Mucawiyah b. Abu Sufyan sememangnya mendapat pengiktirafan apabila sahabat yang masih hidup dan sebahagian besar umat Islam telah membaiah beliau serta mengiktirafnya sebagai khalifah yang sah. Bahkan mereka merestui kepimpinannya sebagai orang yang paling layak memimpin umat Islam dan memikul tanggungjawab tersebut ketika itu. Mucawiyah b. Abu Sufyan telah menasabkan kerajaan yang diasaskannya ini kepada nama moyangnya iaitu Umayyah b. cAbd Shams sebagai strategi politik untuk menyatukan semua anak cucu Umayyah untuk menyokongnya.

Jumat, 16 Januari 2009

Kehebatan Kerajaan Umayyah?

Kehebatan Kerajaan Umayyyah

Sejarah Kerajaan Umayyah cukup kurang dibaca oleh kita. Jika. Ada, pun cenderung dengan keburukan. Yang tertulis tentang kezaliman Hajjaj di Iraq, kezaliman Yazih membunuh Husin b. Ali di Karbala’ dan tamaknya Muawiyah pada jawatan khalifah lantas melantiknya anknya sendiri sebagai penggantinya. Betul ke semua fakta-fakta tersebut, yang sampai kepada kita.

Saya sekadar ingin menyebut kehebatan Kerajaan Umayyah yang jarang dihebah-hebahkan. Banu Umayyah cukup terkenal dengan kepimpinan mereka sehingga berjaya menjadi ‘penguasa tunggal’ semasa zaman pemerintahan mereka. Sebagai bukti lain di Andalus sama ada ketika zaman gabenor, zaman Umara’ atau zaman Kerajaan Umayyah, sepanjang tempoh di Andalus mereka merupakan penguasa tunggal.

Kemunculan kerajaan-kerajaan kecil yang disebut zaman Muluk Wa Tawa’if hanya muncul di Andalus selepas kejatuhan Banu Umayyah seperti mana berlaku kemunculan Duwaylat (kerajaan-kerajaan kecil) di timur juga berlaku selepas kejatuhan Kerajaan Umayyah di Damsyik iaitu pada zaman Kerajaan cAbbasiyyah.

Kerajaan Umayyah yang muncul selepas zaman Rasulullah s.a.w dan Khulafa’ al-Rasyidin telah mengambil langkah menyambung usaha yang dilakukan oleh pemimpin sebelum mereka untuk meneruskan usaha perluasan kuasa Islam di kawasan perairan di Kepulauan Laut Mediterranean, sebagaimana yang mereka lakukan di kawasan darat ke Afrika Utara, Andalus, al-Sind dan Ma Wara’ al-Nahar.

Mereka telah menyusun sekurang-kurangnya 45 operasi laut ke Kepulauan Laut Mediterranean sama ada yang terletak di timur, tengah ataupun barat laut tersebut seperti Pulau Cyprus, Pulau Rhodes, Pulau Kriti, Pulau Sicily, Pulau Sardinia serta Pulau-pulau Balearic.

Matawang Islam pertama dibuat pada zaman mereka. Pengepungan ibu kota Byzantine, Constantinople turut dilancarkan kali pertama pada zaman mereka.

Ayuh kita membaca sejarah Islam kita dengan suara hati kita yang bersih.

Selasa, 30 Desember 2008

Antara Banu Hasyim dan Banu Umayyah

KELUARGA ANTARA PENDOKONG (BANU HASYIM) DAN PENENTANG (BANU UMAYYAH)

Nama Banu Umayyah adalah disandarkan kepada keturunan Umayyah b. cAbd Shams b. cAbd Manaf b. Qusay. Umayyah adalah salah seorang pemimpin bangsa Quraisy pada zaman Jahiliyyah dan Banu Umayyah (keluarga Umayyah) adalah antara kumpulan paling kuat menentang Rasulullah s.a.w. sebelum memeluk Islam berbanding Banu Hashim (keluarga Hashim) yang menjadi penyokong kuat baginda s.a.w. Banu Umayyah merupakan antara kelompok terakhir yang memeluk agama Islam, tetapi kemudiannya mereka telah menunjukkan kepahlawanan yang cukup gemilang seolah-olah untuk menampung kembali penentangan mereka kepada Rasulullah s.a.w dan agama Islam sebelum itu.

Banu Hashim dan Banu Umayyah adalah dua keturunan cAbd Manaf yang cukup terkenal dengan ketokohan serta kepimpinan mereka. Namun demikian, Banu Umayyah sebenarnya memiliki lebih banyak kekayaan, lebih ramai keturunan dan mempunyai lebih ramai tokoh-tokoh pemimpin berbanding Banu Hashim. Kemuliaan pada zaman itu adalah dinilai dengan ramainya keturunan. Bahkan Banu Umayyah merupakan antara golongan korporat dan ahli perniagaan yang terkenal serta bangsa Arab Quraisy yang paling kaya.


Banu Umayyah memang cukup terkenal dengan kepimpinan dan ketokohon mereka dalam berpolitik sejak zaman Jahiliyyah lagi. Sebagai contoh, sepanjang Perang al-Fijar, Quraisy telah dipimpin oleh Harb b. Umayyah manakala selepas zaman Islam, semasa perang Uhud dan al-Ahzab ketua Kafir Quraisy adalah di bawah pimpinan Abu Sufyan b. Harb. Selepas Banu Umayyah memeluk Islam, mereka tidak menunggu lama untuk menggilap bintang ketokohan dan kepimpinan mereka. Antara yang paling awal menonjol ialah Yazid b. Abu Sufyan yang telah dilantik oleh Khalifah Abu Bakr s al-Siddiq ebagai salah seorang daripada empat panglima tentera untuk membuka Syam dan beliau kemudiannya telah dilantik sebagai gabenornya pada zaman Khalifah cUmar b. al-Khattab. Begitulah, akhirnya kepimpinan dan ketokohan mereka pada zaman jahiliyyah berpindah kepada kepimpinan mereka pada zaman Islam.

Minggu, 09 November 2008

Barbar...reformasi

Kepada pembaca sejarah di Afrika utara, untuk kita memahami iklim tersebut kita mesti membaca sejarah berkaitan Barbar. Antara konflik besar yang berlaku zaman Kerajaan Umayyah selain pembunuhan Husin b. Ali di Karbala', kemunculan Ibn Zubayr, isu Hajjaj di Iraq maka reformasi Barbar tahun 122H merupakan salah satu topik penting dan menarik.

REFORMASI BARBAR

Perluasan kuasa Islam memerlukan tempoh yang lebih panjang di Afrika Utara berbanding Iraq, Syam dan Mesir. Tentera Islam mengambil masa lebih 60 tahun untuk membuka kawasan Afrika Utara. Antara cabaran utama tentera Islam semasa dalam usaha perluasan kuasa Islam di sana atau selepas kejayaan membukanya ialah berhadapan dengan puak Barbar.Selepas tentera Islam berjaya membuka Afrika Utara, puak Barbar yang merupakan penduduk asal Afrika telah menghadapi polisi pemerintahan yang berbeza di kalanngan gabenor-gabenor Afrika sama ada menikmati keadilan atau sebaliknya kezaliman.

Sebagai contoh pada zaman Muhammad b. Yazid menjadi gabenor Afrika, keadaan di Afrika begitu aman dan sepanjang tempoh pentadbirannya Barbar menikmati pentadbiran yang adil serta saksama. Sehinggakan polisi pentadbiran Muhammad b. Yazid yang berhikmah berjaya membawa pengislaman puak Barbar. Begitu juga ketika zaman Ismacil b. cAbd Allah b. Abu al-Muhajir yang dilantik menjadi gabenor Afrika oleh Khalifah cUmar b. cAbd al-cal-Aziz, ahli sejarah bersepakat mengatakan seluruh puak Barbar telah memeluk Islam ketika itu. Bahkan Khalifah cUmar b. cAbd al-cal-Aziz telah menghantar 10 Tabi’in untuk mengajar Islam kepada puak Barbar tersebut.

Namun, sebaik Yazid b. cAbd al-Malik dilantik menjawat jawatan khalifah menggantikan cUmar b. cAbd al-cal-Aziz, beliau telah melucutkan jawatan Ismacil b. cAbd Allah b. Abu al-Muhajir lalu melantik Yazid b. Abu Muslim yang merupakan pembantu Hajjaj b. Yusuf al-Thaqafi. Yazid b. Abu Muslim kemudian telah menggunakan polisi yang keras ke atas Barbar sebagaimana yang dilakukan oleh Hajjaj b. Yusuf di Iraq yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya. Selepas itu, Bishr b. Safwan al-Kalbi yang dilantik menjadi gabebor Afrika berjaya mengembalikan ketenteraman yang dicetuskan oleh Barbar.

Namun demikian, selepas itu puak Barbar kembali menerima polisi yang keras oleh pemerintah Islam di Afrika Utara dan pada waktu yang sama kumpulan Khawarij telah ramai yang memasuki Afrika Utara kerana jauhnya tempat tersebut dari pusat pemerintahan Islam. Mereka kemudian telah menyerap masuk ke dalam puak Barbar dan menyebarkan fahaman mereka seperti tuntutan hak sama rata antara mereka dan Arab serta reformasi menentang kezaliman. Akhirnya pada tahun 122H/739 Barbar telah bangkit menentang pemerintah Islam di Afrika Utara yang ketika itu di bawah pimpinan cUbayd Allah b. al-Habhab di saat ramai tentera Islam sedang keluar berjihad di Pulau Sicily. Reformasi yang dilancarkan oleh Barbar dan kejayaan mereka membunuh peminpin Islam di Tanjah (Tangier) telah menggugat keamanan Afrika sehingga gabenor terpaksa memanggil balik tentera Islam yang sedang berjihad di Pulau Sicily yang diketuai oleh Habib b. Abu cUbaydah b. cUqbah b. Naficuntuk bersatu menghadapi Barbar. Gabenor Afrika sendiri turut menyiapkan pasukan tentera dari al-Qayrawan tetapi malangnya kemenanagan berpihak kepada Barbar.

Khalifah Hisham b. cAbd al-Malik kemudian telah melantik Kalthum b. cIyad al-Qushayri[1] untuk menggantikan cUbayd Allah b. al-Habhab untuk menghadapi Barbar tetapi tentera Islam sekali gagal dalam pertempuran yang berlaku pada tahun 124H/741 yang membawa kepada syahidnya dua orang tokoh besar iaitu Kalthum b. cIyad al-Qushayri dan Habib b. Abu cUbaydah. Hanzalah b. Safwan yang kemudian dilantik menjadi gabenor Afrika telah berjaya mengalahkan puak Khawarij dan Barbar. Polisi Hanzalah b. Safwan yang adil mengakibatkan keadaan di Afrika Utara kembali aman dan stabil. Namun demikian, keadaan tersebut hanya buat seketika waktu kerana Barbar kembali melancarkan reformasi pada zaman cAbd al-Rahman b. Habib yang dilantik menjadi gabenor Afrika Utara tahun 127H/744 menggantikan Hanzalah b. Safwan.



Old Post ►
 

Copyright 2012 Liputan Sejarah Indonesia: Kerajaan Banu Umayyah Template by Bamz | Publish on Bamz Templates